DINDING dengan motif lebih ringkas.
DINDING dengan motif lebih ringkas.
Nurul Husna Mahmud


MELIHAT setiap hasil kerja tangan pengasas The Artsy Wall Noraslinda Mohamad Ali ini pada dekorasi panel dinding atau lebih dikenali sebagai 'wainscoting,'

penulis sangkakan dia mempunyai pengalaman bertahun dalam bidang itu.

Hakikatnya ibu kepada dua cahaya mata itu mempelajari menghasilkan seni hiasan panel dinding itu menerusi Youtube dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung dalam tempoh tiga bulan bermula Mac lalu.

Kata Noraslinda, bermula dengan ruang dinding di bahagian tangga kemudian beralih kepada semua dinding dalam kediamannya terletak di Seremban 2 dan 'merebak' pula ke kediaman ibunya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Impian melihat dinding rumah ada panel dinding ini sudah lama cumanya kekangan dari segi bajet kerana untuk dapatkan hiasan itu menelan ribuan ringgit dan pada saya ia terlalu tinggi.

"Jadi, dalam tempoh PKP, saya yang terpaksa bekerja di rumah cuba cari hobi baru iaitu menata rias rumah dan salah satunya belajar membuat 'wainscoting' daripada Youtube.

KERJA pemasangan panel kayu
KERJA pemasangan panel kayu

"Saya pesan barang termasuk peralatan dan kayu menerusi atas talian dan boleh dikatakan kos pemulaan sekitar RM300 untuk siapkan dinding pertama," katanya.

Mendapat restu suami tercinta, Helmi Ashar, 35, hobi menata rias setiap dinding kini melengkapi segenap ruang termasuk bilik tidur kedua-dua anak.

"Hobi ini suami memang galakkan sebab rumah jadi cantik dan saya pula memang sukakan kerja bertukang selain tidak kekok. Anak juga gembira dengan hasil kerja kerana mereka lihat rumah lebih cantik,"katanya.

MOTIF yang lebih moden.
MOTIF yang lebih moden.

Katanya pada permulaan kerja-kerja membuat panel dinding itu, tempoh diambil agak panjang iaitu kira-kira seminggu kerana masih tidak cekap dalam kerja-kerja ukuran mahupun susun atur motif panel terbabit.

"Rumitnya mengenai panel dinding ini apabila perlu teliti terutama ketika mengukur dinding dan juga skala untuk motif dipilih.

"Lagi rumit motif lagi banyak dan sukar kerja melengkapkan semua panel kayu. Lain-lain tiada masalah tetapi kini saya mampu menyiapkan sekitar dua hingga tiga hari bagi dinding besar seperti ruang tamu dan ruang makan,"katanya.

NAMPAK seragam dan sama untuk setiap motif.
NAMPAK seragam dan sama untuk setiap motif.

Dari segi penggunaan material, Noraslinda menggunakan rangka kayu palet yang berkualiti dan pelekat dinding atau 'liquid nail' serta 'gap sealer' putih bagi kemasan. Kemudian pilihan cat mengikut kod bersesuaian dengan perabot.

Hasilnya, tidak jemu memandang setiap motif panel dinding dihasilkan Noraslinda ini selain turut menggunakan Pinterest sebagai rujukan bagi menghasilkan motif atau corak terkini.

"Sekarang ini saya terima tempahan bagi peminat panel hiasan itu dan kos dikenakan pada setiap rekaan bergantung mengikut luas dinding serta tahap kesukaran motif.

RUANG bilik tidur juga nampak lebih menarik.
RUANG bilik tidur juga nampak lebih menarik.

"Bagi saya ia antara karya seni yang turut memberi kebaikan pada orang lain."kata

nya yang turut dibantu suami dan hanya mengambil tempahan bagi kerja-kerja hujung minggu.

Berkongsi penjagaan panel dinding terbabit, Noraslinda mengakui panel dinding itu alah dengan air dan hanya perlu menggunakan kain atau berus lembut untuk membuang habuk.

"Peminat panel dinding ini memang akan hargai sudut itu dan menjaganya supaya sentiasa kemas. Biasanya pemilik kediaman akan mengemas dan sebenarnya penjagaan cukup ringkas seperti mana ruang atau perabot kayu.

"Kalau ada kerosakan, hanya penggantian kayu diperlukan selain kerja-kerja kemasan cat bagi memasikan ruang berkenaan sentiasa menarik dan kemas,"katanya yang ketika ini menawarkan perkhidmatan itu secara sambilan menerusi platform facebook.

Selain itu, dia tidak lupa berkongsi mengenai 'trend' semasa rata-rata pemilik kediaman lebih gemarkan konsep minimalis dan ringkas dengan kehadiran panel dinding itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:00 AM