HIASAN dinding bercirikan ukiran kayu Melayu masih tampak menarik meskipun ditempatkan dalam bangunan atau kediaman moden.
HIASAN dinding bercirikan ukiran kayu Melayu masih tampak menarik meskipun ditempatkan dalam bangunan atau kediaman moden.
Nurul Husna Mahmud


SIAPA sangka kayu terendam dalam banjir masih boleh digunakan dan dijadikan aksesori hiasan yang menarik serta unik di rumah.

Hasil terendam membuatkan rupa kayu kelihatan lusuh selain kerosakan lain memberi kesan unik dan menonjol selepas melalui kerja-kerja membaik pulih.

Begitulah keunikan koleksi Bahkoletion dalam seleksi Termerloh Series membabitkan sembilan hasil karya Adiguru Ukiran Kayu Melayu, Abd Muhaimin Hasbollah.

Kerja kayu itu turut pernah dipertontonkan secara terbuka di Rumah Lukis, Kuala Lumpur April lalu. Ia menerusi kolaborasi bersama pereka tempatan, Muhamad Razif Nasrudin dan pelukis Sharina Shahrin yang memperlihatkan sisi unik pada hasil kerja yang mengalami 80 peratus kerosakan itu dinaik taraf kepada suatu nilai baharu.

Menurut Abd Muhaimin,dalam sembilan karya dihasilkanpanel kayu berketinggian 2.7 meter adalah paling mencabar.

"Hasil karya pada hari ini adalah semua karya saya yang terjejas ketika banjir besar 2014. Berbanding membiarkan semua hasil saya itu musnah begitu sahaja, saya ambil inisiatif melakukan kerja-kerja merawat atau dipanggil 'restorasi' dengan kimia tertentu bagi memastikan keadaan kayu lebih tahan.

"Dalam proses terbabit juga, bahagian rosak akan digabungkan dengan material lain kayu baharu dan kemudian kemasan menggunakan warna antik supaya rekaan itu kelihatan sekata dengan bahagian lama.

TIGA panel yang melalui proses pemiliharaan dan baik pulih.
TIGA panel yang melalui proses pemiliharaan dan baik pulih.

ABD MUHAIMIN menekankan ukiran kayu Melayu perlu difahami falsafahnya agar tidak menghasilkan produk yang tidak sesuai dengan maknanya.
ABD MUHAIMIN menekankan ukiran kayu Melayu perlu difahami falsafahnya agar tidak menghasilkan produk yang tidak sesuai dengan maknanya.

"Saya juga turut dibantu pereka tempatan bagi memberi nilai tambah baru termasuk rekaan yang lebih relevan sesuai dengan pemilik kediaman masa kini," katanya.

Katanya yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam kerja ukiran kayu Melayu, selain mengangkat seni ukiran terbabit, penting baginya menghasilkan produk hiasan yang bersesuaian bagi memastikan kumpulan peminat seni itu terus berkembang sehingga ke generasi masa depan.

"Aspek estetika ukiran masih menekankan kepentingan mengekalkan motif- motif ukiran Melayu yang sedia ada dengan penceritaan falsafah tersendiri dengan fungsi atau peranan pada suatu aksesori.

"Justeru setiap ukiran dengan motif tertentu perlulah dipadankan dengan aksesori yang ingin dihasilkan. Sebagai contoh motif bunga tanjung yang mengisahkan ciri-cirinya yang memiliki bau harum dan rupanya cantik.

"Dalam ukiran motif itu sewajarnya diletak di tempat yang menjadi tumpuan utama iaitu ruang tamu atau serambi yang mana diharap falsafah itu memberi kepercayaan ruang berkenaan dapat menyerap aura dibawa motif bunga terbabit," katanya.

Di sebalik falsafah, teknik dalam menghasilkan rekaan juga pelbagai dan mempunyai peranan tertentu.

"Selain motif, teknik ukiran juga antara yang boleh diperhatikan menerusi sembilan karya ini. Seperti panel kayu saya hasilkan itu menggunakan motif bunga tanjung tetapi teknik yang dipakai ialah teknik tebuk tembus bersilat.

ABD Muhaimin menunjukkan draf motif dihasilkan.
ABD Muhaimin menunjukkan draf motif dihasilkan.

ANTARA karya Abd Muhaimin yang dinaik taraf daripada suatu fungsi lain kepada produk hiasan lain.
ANTARA karya Abd Muhaimin yang dinaik taraf daripada suatu fungsi lain kepada produk hiasan lain.

"Teknik ini biasanya dilakukan pada ruang kediaman seperti atas pintu dan tingkap atau serambi bagi membantu mewujudkan sistem pengudaraan semula jadi dalam kediaman. Kediaman pula tidak akan panas.

"Secara umumnya setiap teknik mempunyai kriteria cukup praktikal apabila digunakan dalam sesuatu ruang," katanya.

Sementara itu pereka bersama siri koleksi itu, Muhammad Razif berkata, selaku generasi terkini terbabit dalam kerja mengangkat seni ukiran kayu Melayu supaya relevan dengan nilai komersial zaman ini, penting baginya memahami setiap falsafah ukiran kayu tradisi.

"Peranan kami sebagai pereka atau pelukis baharu, kami perlu jaga falsafah sedia ada dan cuba mengangkat ia dengan rekaan lebih kontemporari supaya golongan masa kini dapat sama menghargai seni ini.

"Kolaborasi ini adalah inisiatif Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menerusi anak syarikatnya, CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB), dalam memberi nafas baru kepada industri ini selain mahu ia menarik lebih ramai penggiat dalam kalangan anak muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:42 AM