GUNAKAN hiasan lantai berjubin berbanding kayu.
GUNAKAN hiasan lantai berjubin berbanding kayu.
Hafiz Ithnin


Tragedi bencana alam yang berlaku baru-baru ini membabitkan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri ternyata menjadi mimpi ngeri kepada mangsa.

Malah, bagi pemilik kediaman yang sudah 'melabur' modal dan idea yang besar bagi menjadikan sebuah kediaman yang selesa sudah pasti hanya mampu menangis di dalam hati.

Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, bagi mereka yang mempunyai kediaman yang sering berdepan dengan bencana banjir sebenarnya boleh membuat perancangan dalam hiasan dalaman.

Jelasnya, meskipun keadaan banjir bukan sesuatu yang boleh dijangka berlaku tetapi mengambil tetapi mempunyai perancangan untuk masa kecemasan adalah sesuatu yang penting.

"Bencana alam seperti banjir sememangnya sesuatu perkara yang di luar jangka tetapi apabila kedudukan kediaman itu terletak berhampiran dengan sungai atau tanah rendah, potensi untuk ia berlaku mungkin ada.

"Jadi, sebagai pemilik kediaman kita perlu mengambil langkah berhati-hati supaya aktiviti hiasan dalaman yang mungkin sudah memakan kos perbelanjaan tinggi tidak begitu terkesan dengan teruk," katanya.

PEMILIK kediaman boleh memilih perabot dan hiasan kediaman yang mudah untuk dibersihkan jika berlaku banjir.
PEMILIK kediaman boleh memilih perabot dan hiasan kediaman yang mudah untuk dibersihkan jika berlaku banjir.

Justeru, Dr Hafizal berkongsikan tip dekorasi rumah di kawasan yang kerap dilanda banjir.

1. Pemilihan perabot

Perabot yang dibeli haruslah tahan daripada air dan kelembapan. Sebolehnya, set katil dan sofa, strukturnya diperbuat daripada kayu keras seperti kayu jati dan sebagainya.

Elakkan penggunaan fabrik span pada sofa dan kepala katil kerana ia mudah menyerap air dan meninggalkan kesan kotoran seperti lumpur.

Bagi sofa pula, kerangka kayu keras yang digabungkan dengan kepingan kusyen lembut yang boleh ditanggalkan boleh memudahkan kerja memindahkan perabot ketika rumah dinaiki air. Selain itu, belilah perabot yang membolehkan kita menanggalkan fabrik untuk dicuci.

Pengguna juga perlu mengelak dari membeli perabot yang diperbuat daripada habuk kayu yang dimampatkan atau gentian berkepadatan sederhana (MDF) kerana apabila ia terdedah pada air untuk suatu tempoh yang lama, ia mudah menyerap air dan mengembang.

SOFA jenis span bukan pilihan terbaik untuk kediaman yang sentiasa terkesan akibat banjir.
SOFA jenis span bukan pilihan terbaik untuk kediaman yang sentiasa terkesan akibat banjir.

2. Kemasan dinding

Pemilihan jenis cat adalah penting bagi dinding rumah. Cat yang anti kulat dan yang mempunyai sifat mudah dicuci boleh digunakan. Terdapat juga cat anti banjir yang kalis air dan kelembapan dijual di pasaran sesuai dicat di dalam dan di luar rumah.

Kebiasaannya cat jenis ini mudah untuk dibersihkan dan yang paling penting tidak meninggalkan kesan kotoran seperti lumpur dan sebagainya.

Selain itu, cuba elakkan daripada membuat dinding pemisah jenis 'drywall' atau gipsum di tingkat bawah. Kertas dinding adalah kemasan yang sememangnya tidak harus digunakan langsung.

ELAK menggunakan kertas dinding bagi kediaman yang sering dilanda banjir.
ELAK menggunakan kertas dinding bagi kediaman yang sering dilanda banjir.

3. Kemasan lantai

Elakkan penggunaan lantai berlamina atau 'laminated flooring' dan kembali kepada lantai asas seperti jubin bagi memudahkan kerja pembersihan.

Lantai kayu berlamina akan menyerap dan memerangkap air di bahagian bawahnya. Sehubungan itu, penggunaan lantai dengan kemasan jubin adalah pilihan terbaik bagi rumah yang terdedah dengan fenomena banjir.

4. Permaidani

Pemilihan permaidani sesuai adalah yang tidak terlalu tebal, berat dan mudah digulung. Penggunaan permaidani jenis 'rug' lebih sesuai kerana ia mudah untuk dicuci semula, boleh dimasukkan ke dalam mesin pencuci selain mudah di lipat atau digulung dengan cepat jika berlaku kejadian banjir.

Cuba elakkan penggunaan tikar getah yang diletakkan di atas lantai untuk mencantikkan ruang kerana ia akan menyukarkan kerja kerja pembersihan rumah kelak.

5. Suis elektrik

Gunakan kesempatan ini untuk pendawaian semula elektrik. Suis dan plug boleh diubah ke lokasi yang lebih tinggi jika perlu. Hal ini akan membantu dalam melambatkan kejadian litar pintas yang akan menyebabkan terputusnya bekalan elektrik di rumah jika ia dimasuki air.

Selain itu, ia dapat memberi tempoh masa lebih lama kepada penghuni dalam proses persediaan dan menyelamat sekiranya banjir berlaku.

Untuk menjimatkan kos dekorasi pasca banjir, pengguna boleh menumpukan pada dinding rumah kerana permukaan dinding adalah yang terbesar di bahagian dalaman rumah.

Pengguna boleh memasang panel dinding atau 'wainscoting' yang ringkas pada dinding dengan membentuk petak petak dalam pelbagai saiz tanpa perlu meletakkan kepingan papan lapis di dinding.

Bingkai wainscoating ini boleh didapati dan dijual dalam aplikasi jualan dalam talian dan mudah untuk dipasang sendiri secara lakukan sendiri (DIY).

Selain itu, pengguna juga boleh memilih cat yang sesuai untuk dicat pada dinding dalaman dan luaran bangunan. Kos mengecat boleh dijimatkan jika ia dilakukan sendiri dan sememangnya ia boleh dilakukan sesiapa sahaja.

Buat masa ini, konsep minimalis paling sesuai untuk diadaptasi di segenap ruang dalaman dengan penataan yang ringkas.

Jika dilihat, pada waktu pasca banjir terdapat pelbagai barang yang dibuang dan jika kita bijak dan kreatif, barang barang yang dibuang seperti panel kayu, pintu kayu dan sebagainya boleh dikitar semula untuk projek DIY.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:20 AM