DINDING bata memberikan impak berbeza.
DINDING bata memberikan impak berbeza.
KONSEP industri mampu mencipta suasana natural.
KONSEP industri mampu mencipta suasana natural.
LANTAI simen membuatkan ruang tampil bersahaja.
LANTAI simen membuatkan ruang tampil bersahaja.
Faizal Zain

Salam deko buat semua. Minggu lalu saya sudah bincangkan secara ringkas berkenaan maksud dekorasi bertemakan industri. Gaya industri biasanya menggunakan warna monokromatik dan menjelmakan sisi maskulin serta ‘keras’ berdasarkan penggunaan material seperti logam, kayu dan bata. Ia sengaja diketengahkan untuk menunjukkan karakternya. Material yang digunakan juga adakalanya daripada bahan terbuang, kitar semula atau bahan industri seperti kaca, besi, aluminium, paip dan getah. Diolah sedemikian rupa hingga boleh dijadikan elemen hiasan dalaman yang menarik.

Jadi pada minggu ini saya sambung lagi huraian berkenaan aspek yang menjadi tunjang dalam sentuhan dekorasi bertemakan industri ini. Antara yang paling ketara adalah penggunaan lantai simen biasa. Meski tampak sederhana, penerapan lantai simen polos biasa pada bahagian lantai memerlukan keterampilan khusus dan pilihan simen dari jenis yang berkualiti. Jika tidak, lantai tidak akan bertahan lama, mudah retak, bahkan pecah jika terkena hentakan perabot yang kuat. Lantai jenis simen dipilih dalam konsep industri kerana mampu menciptakan kesan natural dan begitu sinonim dengan kesan pembuatan bangunan. Jadi bagi mereka yang memilih konsep dekorasi ini pada kediaman biasanya tidak memilih jubin mahupun marmar sebagai hiasan lantai utama.

Selain ruang lantai, bahagian dinding juga diberikan penekanan utama dengan sentuhan ‘unfinished’ atau dalam erti kata lain ia kelihatan seolah-olah sentuhan yang belum siap sepenuhnya. Dinding ‘unfinished’ ertinya dinding dibiarkan tanpa cat atau sebarang sentuhan akhir seperti jubin atau pemasangan kertas dinding. Penataan seperti ini mampu memperkuatkan kesan industri pada sentuhan kerana hanya dilapisi simen.

Tidak hanya dinding simen, dinding dengan batu-bata juga mencerminkan tema industri yang kuat. Sama ada anda memilih batu-batu merah atau putih kedua-duanya memberi impak yang sama.Begitu juga dengan dinding batu-bata dalam sentuhan bertemakan industri ini juga dibiarkan tanpa sentuhan akhir seperti cat dan sebagainya. Susunan batu-bata bersama lepaan simen adalah sesuatu yang ‘diinginkan’dalam setiap sentuhan berkonsepkan industri ini. Banyak lagi yang ingin saya huraikan berkenaan sentuhan dekorasi bertemakan industri ini, jangan lupa minggu hadapan dalam ruangan Inspirasi Deko!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 1:56 AM