RUANG tamu kelihatan menarik dan ringkas selepas renovasi.
RUANG tamu kelihatan menarik dan ringkas selepas renovasi.
Hafiz Ithnin


PADA hari ini, ramai yang menjadikan platform media sosial sebagai rujukan termasuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman kerana ia lebih mudah ditangkap layar dan ditunjukkan kepada kontraktor.

Namun, bagi pemilik kediaman ini dia mendapat inspirasi mendekorasi kediamannya menerusi filem lama era 1980-an dan 1990-an.

Bagi Shahrul Azwan Hamdzah, 39, sejak dari kecil dia membesar di Felda dan sering menonton filem dalam era itu. Hingga pernah memasang impian untuk mempunyai kediaman seperti di dalam filem suatu hari nanti.

Kini, impiannya menjadi kenyataan kerana sentuhan klasik pada kediaman baharu dimilikinya pada 2019 itu bukan sahaja mampu memberi kepuasan peribadi malah menarik perhatian pengguna laman sosial.

Shahrul Azwan berkata, kediaman baharunya itu berstatus jualan sekunder dengan saiz 1,400 kaki persegi yang dibangunkan pada sekitar 1980-an di Shah Alam, Selangor.

"Ketika saya melihat rumah ini kali pertama, sudah jatuh hati kerana hiasan dalaman asalnya masih utuh seperti jubin lantai, pintu jeriji dan tingkap nako yang lebar.

"Jadi, elemen asal rumah ini sememangnya menjadi idaman sejak kecil. Kalau ikutkan hanya sekitar 20 peratus sahaja kediaman ini melalui proses pengubahsuaian. Selain itu, saya mengubah warna bagi memberi nafas baharu," katanya.

Katanya, secara peribadi dia melihat kediaman yang mempunyai ciri-ciri klasik itu mempunyai nilai eksklusif tersendiri dan sukar untuk mendapatkannya pada hari ini.

TEMBOK luar rumah yang asal dan kelihatan unik selepas dinaikkan.
TEMBOK luar rumah yang asal dan kelihatan unik selepas dinaikkan.

ANJUNG rumah sebelum direnovasi dan selepas direnovasi.
ANJUNG rumah sebelum direnovasi dan selepas direnovasi.

"Kalau jubin lantai di dalam rumah itu saya buang ia perkara paling merugikan kerana tidak boleh didapati lagi pada hari ini.

"Begitu juga dengan saiz tingkap nako yang luas itu yang hanya saya catkan warnanya supaya senada dengan hiasan lantai di anjung rumah," katanya.

Jelasnya, dia membelanjakan tidak sampai RM50,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian kediaman. Antara yang diberi sentuhan baharu ialah tandas, dapur dan lantai anjung.

Paling menarik perhatian ialah tembok di anjung yang diberi sentuhan baharu tetapi masih berkonsepkan tembok kediaman rumah teres lama dengan mempunyai hiasan batu rona bata merah.

"Struktur asal yang lain saya tidak ubah supaya identiti klasiknya dapat dikekalkan. Malah, bagi saya kediaman yang mempunyai elemen klasik ini sebenarnya malar segar.

"Selain itu, ia juga mudah untuk diadunkan dengan pelbagai jenis konsep hiasan dalaman sama ada moden atau rustik," katanya.

Dari segi pemilihan warna di dalam kediaman, Shahrul memilih rona putih dan biru lembut sebagai tema utama kerana ia dilihat mudah untuk dipadankan dengan warna perabot dan mampu menjadikan ruang lebih luas.

Jelas Shahrul Azwan, sebenarnya kediaman itu belum siap sepenuhnya kerana kerja-kerja pengubahsuaian yang memerlukan pihak kontraktor melakukannya perlu ditangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Perkara yang belum dapat diselesaikan seperti di bahagian dapur tetapi saya masih ingin ia kelihatan serasi dengan konsep asal walaupun terdapat elemen baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:40 AM