MENJADI tempat kesukaan anak-anak bermain dan bersantai.
MENJADI tempat kesukaan anak-anak bermain dan bersantai.
MENARIK ruang bawah tangga menjadi tempat santai mencipta ilusi ruang lebih luas dan kemas.
MENARIK ruang bawah tangga menjadi tempat santai mencipta ilusi ruang lebih luas dan kemas.
ISTERI turut menyumbang idea bagi  mereka ruang penyimpanan seperti laci untuk barang.
ISTERI turut menyumbang idea bagi mereka ruang penyimpanan seperti laci untuk barang.
Nurul Husna Mahmud


BAGI kebanyakan pemilik kediaman dua tingkat, ruang bawah tangga selalu menjadi ruang penyimpanan.

Namun berbeza bagi peminat kerja-kerja pertukangan, Ben Safwan, 34, apabila menukar ruang berkenaan menjadi tempat bersantai dan bermain untuk anak-anaknya.

Tidak seperti sebuah kediaman tipikal, rekaan ruang bawah tangga yang diketengahkan Ben seperti ruang bersantai sering dilihat pada rumah konsep Inggeris.

Kreativiti diserlah menerusi pemilihan warna ungu terang bagi menonjolkan ruang pelbagai fungsi itu selain perincian lain yang sepadan dengan ruang sedia ada.

Menurut Ben, penggayaan dan penggunaan sesuatu ruang antara memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran rumah yang selesa.

"Ramai pemilik kediaman menjadikan ruang bawah tangga sebagai stor yang menyimpan pelbagai barangan sehinggakan kediaman nampak sempit.

SEBELUM tranformasi ruang.
SEBELUM tranformasi ruang.

"Sebaiknya penggunaan ruang terbabit diubah kepada ruang sosial atau tambahan lebih terbuka seperti ruang istirahat, belajar mahupun menonton televisyen.

"Sebagaimana projek 'DIY Premium Understair Bench Storage,' saya juga mahu kongsikan idea kepada anda bagaimana pengubahsuaian ruang di bawah tangga boleh mengubah atmosfera dalam rumah," katanya yang juga pengendali kumpulan Facebook Tukang Apa Hari Ini.

Tambah Ben, pengubahsuaian ruang itu juga memberi ruang tambahan terutama buat anak yang masih kecil untuk melepak dan bermain.

"Bagaimanapun, kediaman dua tingkat ini sudah cukup selesa untuk didiami keluarga kecil saya terdiri isteri bersama dua anak yang masih kecil.

"Saya masih berasa penting menyusun atur ruang supaya anak-anak mempunyai ruang lebih luas untuk mereka bebas bermain.

BEN menggunakan kayu saiz besar untuk hasilkan kerangka yang lebih kukuh.
BEN menggunakan kayu saiz besar untuk hasilkan kerangka yang lebih kukuh.

"Selain itu penyusunan ruang juga penting dalam memastikan segenap ruang boleh dioptimumkan penggunaannya tidak hanya tampak cantik dan tersusun semata-mata," katanya.

Kata Ben lagi, kerja-kerja pengubahsuaian ruang itu kebetulan bermula pada hari kedua Aidilfitri baru-baru ini dan memakan masa selama 14 minggu termasuk kemasan dan perincian akhir.

"Idea untuk projek adalah hasil pemerhatian menerusi Pinterest, Reddit dan kumpulan dekorasi di Facebook sebelum disesuaikan mengikut cita rasa saya.

"Saya juga melakukan lakaran terlebih dahulu sebelum melakukan kerja-kerja pertukangan bagi mendapatkan saiz yang tepat selain memastikan semua elemen yang diingini tidak tertinggal.

"Selesai proses itu barulah kerja mendapatkan bahan binaan dan biasanya saya akan lihat di Internet atau mula pencarian di kedai peralatan perabot berhampiran," katanya.

LUAS ruang laci penyimpanan di bangku santai.
LUAS ruang laci penyimpanan di bangku santai.

Mengenai cabaran perlu ditempuh dalam menyiapkan projek terbabit, kata Ben, ada sebahagian material memerlukan tempoh menunggu lama kerana hanya boleh diperoleh dari luar negara.

"Dalam proses menyiapkan ruang berkenaan, tidak dinafikan pelbagai halangan terutama apabila saya melakukan projek ini hanya dibantu oleh anak sulung yang berusia tiga tahun.

"Ada satu insiden yang pada saya agak mencabar membabitkan material yang penting iaitu 'high pressure laminate' bercorak batu marmar dipecahkan oleh anak. Jadi saya terpaksa gunakan kreativiti untuk tutup kerosakan itu.

"Selain itu juga cabaran lain apabila menunggu material rangka 'dusty pink gold' yang saya tempah langsung dari China mengambil masa dua bulan untuk sampai. Itu juga menyebabkan kerja menyiapkan projek ini tertangguh lama," katanya.

Kata Ben, bertukang sendiri mengundang isu remeh termasuklah ketika menunggu bahan mentah berkualiti sampai. Ia lebih berbaloi daripada menggunakan bahan tangkap muat.

MASIH terdapat stor kecil dalam projek DIY Premium Understair Bench Storage.
MASIH terdapat stor kecil dalam projek DIY Premium Understair Bench Storage.

"Pada saya tidak mengapa bersusah payah mencari material terbaik bagi projek pertukangan untuk merias rumah kerana ia penting dalam memastikan ketahanan selain kemasannya terbaik.

"Saya sangat menitik beratkan kerangka sebab itulah saya menggunakan kayu saiz besar dan papan lapis tebal supaya struktur menyokong ruang terbabit kukuh.

"Malah saya juga cerewet dalam spesifikasi kerangka kerana ia membabitkan faktor keselamatan. Ruang berkenaan adalah tempat bermain anak dan apabila mereka melompat atau berlari di atasnya, ia masih mampu menahan beban dan pergerakan besar," katanya.

Lebih menarik ruang berkenaan turut lengkap dengan laci penyimpanan selain tilam sofa yang ditempah khas.

"Anggaran untuk kos menyiapkan seluruh projek ini sekitar RM2,000. Kos itu tinggi kerana penggunaan material kualiti premium.

TILAM ditempah khas antara bahagian yang memakan kos tinggi.
TILAM ditempah khas antara bahagian yang memakan kos tinggi.

"Berbanding menggunakan tilam biasa yang mungkin nilainya lebih murah, saya memilih tilam khas menggunakan material kusyen sofa berkualiti dengan harga RM700.

"Bukan itu sahaja, oleh kerana kerangka kayu saya gunakan bersaiz besar dan juga papan lapis berketebalan 18 milimeter, kos untuk material itu lebih tinggi berbanding penggunaan material lebih berkualiti sederhana," katanya.

Selain dia, isterinya turut menyumbang idea bagi rekaan ruang supaya menepati keperluan seisi keluarga.

"Keluasan keseluruhan ruang santai itu ialah 4.3 meter x 1.4 meter dengan 2.4 meter untuk sudut duduk dan 1.8 meter bagi ruang penyimpanan.

"Tampal lebih meriah, bagi bahagian stor saya gunakan perincian 'shiplap' sementara bagi sisi duduk pula saya letakkan panel dinding untuk tampak harmoni pada keseluruhan rekaan.

RUANG bawah tangga boleh diubah suai jadi kawasan santai bersama keluarga.
RUANG bawah tangga boleh diubah suai jadi kawasan santai bersama keluarga.

"Dalam proses itu saya juga mempertimbangkan permintaan isteri seperti mahu ada laci untuk simpanan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:23 AM