TIDAK rigid dan memiliki pelbagai fungsi ruang berbeza.
TIDAK rigid dan memiliki pelbagai fungsi ruang berbeza.
MENARIK kabinet ruang pintu masuk utama.
MENARIK kabinet ruang pintu masuk utama.
PERABOT kini bukan sahaja sebagai penyimpan barang, boleh ditempah mengikut kesesuaian pemlik rumah.
PERABOT kini bukan sahaja sebagai penyimpan barang, boleh ditempah mengikut kesesuaian pemlik rumah.
Nurul Husna Mahmud


PENGAMATAN kebanyakan orang, kabinet hanyalah perabot dan berfungsi untuk penyimpanan barang semata-mata.

Sedangkan kabinet boleh mempunyai pelbagai peranan terutama dalam hiasan rekaan dalam rumah apabila ditempatkan di ruang tertentu.

Perkara itu turut diperincikan sendiri Pengasas Ilusi Hafiezd Design, Mohd Hafizsham Rohaizad yang mempunyai kepakaran dalam mereka bentuk kabinet untuk keperluan kediaman.

Mohd Hafizsham, 35, yang juga pereka hiasan dalaman itu menyedari sejak lima tahun kebelakangan ini, pemilik kediaman mula memberi perhatian untuk memiliki kabinet rekaan atau ditempah khas pada ruang tertentu.

"Sejak saya dan isteri, Nur Ezdiani terbabit mereka ruang dalam kediaman, kabinet antara kepakaran kami apabila terbabit dalam mereka perabot itu sejak 13 tahun lalu.

"Kabinet yang ada sentuhan pereka hiasan dalaman berbeza dengan yang dijual di kedai atau dalam talian.

"Jika lihat proses atau perincian memasang kabinet ditempah khas lebih rumit dan membabitkan pelbagai disiplin kepakaran dari perpaipan, pendawaian sehinggalah pemasangan kabinet.

UNIK rak kasut boleh berputar 360 darjah antara rekaan kabinet khas sesuai untuk ruang pintu masuk.
UNIK rak kasut boleh berputar 360 darjah antara rekaan kabinet khas sesuai untuk ruang pintu masuk.

"Kerja-kerja awal untuk menghasilkan grafik tiga dimensi rekaan ruang terbabit juga menyertakan perincian atau rupa kabinet apabila disiap pasang.

"Ini bagi mengelakkan isu berbangkit terutama perabot tidak muat dengan ruang atau warna yang tidak sepadan dengan konsep dan sebagainya," katanya.

Bagi kabinet direka khas juga memiliki kelebihan kerana dihasilkan mengikut konsep dan keperluan pemilik kediaman.

"Jika ada modal lebih sikit memang saya sarankan pemilik membuat kabinet terutama di ruang 'foyer' atau ruang pintu masuk utama kediaman.

REKAAN banyak para dan ruang kecil sesuai untuk kabinet dapur.
REKAAN banyak para dan ruang kecil sesuai untuk kabinet dapur.

"Bagi saya, idea menempatkan kabinet di ruang pintu masuk dan keluar lebih segar. Ia juga boleh memberi kelainan dalam rekaan ruang kediaman.

"Boleh direka mengikut kesesuaian sama ada untuk letak kunci atau ruang duduk dan rak kasut serta sebagainya.

"Malah untuk rekaan kabinet, saya perhatikan pemilik kediaman sudah berani mengeluarkan belanja besar terutama bagi ruang mendobi," katanya yang tidak menafikan sebelum ini rekaan kabinet kebanyakannya menjadi keutamaan di dapur dan bilik tidur sahaja.

Sementara itu Nur Ezdiani berkata, bagi pemilik yang mengimpikan kabinet direka khas haruslah membuat tinjauan dan kajian berkaitan rekaan serta ciri-ciri kabinet yang diinginkan.

KOTAK simpanan aksesori juga boleh ditempatkan dalam kabinet pakaian.
KOTAK simpanan aksesori juga boleh ditempatkan dalam kabinet pakaian.

"Sebenarnya bagi pemilik kediaman, cara terbaik ialah mendapatkan nasihat dan khidmat pakar hiasan dalaman supaya kabinet sesuai dengan kediaman dan cita rasa sendiri.

"Bagi kabinet rekaan khas, sebenarnya pemilik kena tengok susun atur perabot sedia ada dalam ruang terbabit.

"Pemilik juga perlu buat kajian kabinet yang sesuai sama ada jenis terbuka atau tertutup kerana pada akhirnya itu anda sendiri yang akan guna perabot terbabit.

"Kesesuaian material juga penting supaya rekaan tidak tampak canggung dengan ruang digunakan.

SUDAH ramai sanggup berbelanja untuk kabinet ruang dobi.
SUDAH ramai sanggup berbelanja untuk kabinet ruang dobi.

"Sebagai contoh material 'kaca 5G' hanya sesuai digunakan untuk ruang dapur, manakala melamin hanya untuk ruang lurus dan tidak boleh melengkung," katanya.

Kata Nur Ezdiani, kabinet direka khas memiliki banyak kelebihan lain termasuklah aksesori boleh diubah dan disuai padan dengan bagi penggunaan optimum.

"Ciri-ciri kabinet rekaan khas ialah mempunyai perincian yang menarik dan premium termasuklah lampu serta aksesori lain seperti pemegang atau tombol pintu.

"Belum masuk aksesori penting contohnya para, laci atau mekanisme canggih boleh berputar dan ditarik keluar membuatkan ia lebih menarik.

PELBAGAI material untuk permukaan meja.
PELBAGAI material untuk permukaan meja.

"Malah ciri-ciri ini jugalah sebenarnya meningkatkan keseronokan berada di dalam rumah selain memudahkan pemilik atau penghuni mencapai barang di aras ketinggian berbeza," katanya.

Kelebihan lain, kabinet juga mampu menjadi elemen merubah suasana atau meningkatkan nilai estetika ruang terutama apabila warna dipilih turut menarik.

"Warna kabinet ketika ini juga berubah dan ramai mula tertarik dengan tona warna lembut dan semula jadi.

"Berbanding sebelum ini orang gemar memilih warna gelap kerana tidak mahu kotor dan tampak tegap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 6:20 AM