TIADA  yang boleh menandingi pemilihan cadar yang baik kerana ia dapat menjadikan katil  rumah seperti hotel mewah.
TIADA yang boleh menandingi pemilihan cadar yang baik kerana ia dapat menjadikan katil rumah seperti hotel mewah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


APABILA membicarakan mengenai ruangan penting dalam kediaman, anda mungkin akan terfikir mengenai dapur, ruang tamu ataupun mana-mana ruangan tempat menghabiskan masa pada sebelah siang.

Namun, ruangan yang paling penting di dalam sesebuah rumah sebenarnya adalah bilik tidur, di mana anda menghabiskan waktu malam untuk berehat.

Dengan gaya hidup yang semakin sibuk pada era digital ini, keperluan untuk tidur yang berkualiti menjadi semakin penting.

Menurut pengasas GAIAS Home, Lee Jia Wei, rehat yang cukup terbukti dapat merangsang sistem imun, membantu meningkatkan kesihatan mental dan juga menggalakkan pengurangan berat badan.

Ia sekali gus dapat membantu kita kekal fokus, produktif dan cergas sepanjang hari.

Begitupun kata Lee, terdapat banyak faktor yang boleh memberi kesan kepada tidur seseorang antaranya stres, kadar kecerahan, suhu dan kelembapan katil.

Ia memainkan peranan penting dalam memastikan anda bangun daripada tidur yang lena dan segar.

"Saiz katil dan kepadatan tilam adalah sebahagian daripada katil yang bagus namun pemilihan cadar yang tepat menjadikan katil lebih hebat," katanya.

Jelas Lee lagi, apabila bercakap mengenai cadar yang sempurna, mitos yang selalu didengar adalah berkaitan jumlah benangnya.

Jumlah benang cadar yang selalu diiklankan adalah dalam anggaran 200 ke 800 helai dan kadang-kadang boleh melebihi 1,000 helai.

Sering kali dikatakan bahawa semakin tinggi jumlah benang, semakin elok dan berkualiti cadar terbabit, namun adakah perkara itu benar?

Lee berkata, secara ringkasnya, 'jumlah benang' merujuk kepada jumlah benang melintang dan menegak yang ditenun bersama setiap inci persegi.

Hal ini bermakna, jumlah benang yang tinggi akan menghasilkan cadar yang tebal dan berat tentu sahaja tidak ideal untuk cuaca Malaysia.

"Ada juga pembuat cadar yang tidak bertanggungjawab yang menenun benang secara berlebihan untuk meningkatkan jumlah benang secara palsu.

FABRIK Tencel kini semakin menjadi pilihan  kerana ia lembut, ringan serta mudah menyerap kelembapan.
FABRIK Tencel kini semakin menjadi pilihan kerana ia lembut, ringan serta mudah menyerap kelembapan.

"Ia bukan sahaja tidak mencapai matlamat untuk menjadikan produk mereka lebih mewah, malah menurunkan lagi kualiti fabrik dan menjadikan cadar lebih mudah rosak dan tidak tahan lama," katanya.

Menurut Lee, jumlah benang yang terbaik untuk cadar sebenarnya adalah sekitar 300 ke 500 helai sahaja, tidak kira apa jenis materialnya.

Katanya, keseimbangan yang sempurna antara keutuhan struktur dan keselesaan dan kelembutan adalah ciri-ciri sesuatu cadar itu benar-benar berkualiti dan selesa dipakai walaupun selepas bertahun-tahun digunakan.

"Selepas bertahun-tahun berusaha menyempurnakan sains di sebalik cadar-cadar GAIAS, saya menyedari bahawa jumlah benang yang sempurna untuk cadar istimewa kami adalah sebanyak 300 helai," katanya.

Dalam pada itu, selain jumlah benang, faktor lain yang perlu diambil kira adalah material yang digunakan.

Lee berkata, cadar yang menjadi pilihan rakyat Malaysia biasanya diperbuat daripada kapas atau linen, keduanya material itu mampu milik, sejuk dan lut udara, cukup untuk memberikan tidur yang selesa dalam cuaca panas negara kita.

Namun, material Tencel kini menjadi pilihan terbaharu mesra alam yang semakin popular baik dalam kalangan pakar penghias katil mahupun pengeluar cadar kerana ia lembut, ringan serta mudah menyerap kelembapan.

Katanya, Tencel adalah sejenis bahan lyocell atau rayon yang lebih lembut daripada kapas.

"Tencel berkesan dalam menyerap lembapan, bermakna ia boleh mengelakkan anda berpeluh ketika tidur sekali gus memberikan tidur yang lebih sejuk dan selesa.

"Keistimewaan Tencel ialah ia dihasilkan secara mampan, di mana ia diperoleh daripada pulpa kayu pokok kayu putih yang boleh diperbaharui melalui proses gelung tertutup yang rendah sisa.

"Jika mengambil kira cuaca panas dan lembab di negara ini, Tencel dengan mudah menewaskan semua persaingannya sebagai material pilihan utama selain sempurna untuk mereka dengan kulit sensitif," katanya.

Apapun, tiada apa yang boleh menandingi cadar yang dipilih dengan baik kerana ia dapat menjadikan katil anda kepada sebuah hotel mewah.

Katil adalah tempat untuk kita berehat selepas hari yang panjang, justeru tidak mengapa jika ia diberikan sedikit sentuhan kemewahan untuk keselesaan yang berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 6:17 AM