TUKAR cadar seminggu sekali.
TUKAR cadar seminggu sekali.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SETIAP minggu, kebanyakan kita menghabiskan masa kira-kira 49 hingga 60 jam untuk tidur.

Dalam tempoh ini 'digunakan' bagi merehatkan badan dan mengekalkan kesihatan.

Namun, tanpa disedari, cadar digunakan mengumpul segala kekotoran, peluh, minyak dan sebagainya yang terhasil daripada tubuh kita.

'Kekotoran' ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Walaupun nampak bersih, tetapi ada kuman tersembunyi dan melekat pada cadar.

Tindakan tidak menukar cadar dengan kerap boleh menyumbang kepada masalah seperti alahan, kulit berjerawat dan lain-lain.

Oleh itu, penting menjaga kebersihan tempat tidur untuk meningkatkan kebersihan dan kualiti tidur lebih baik.

Berapa kerap perlu mencuci cadar?

Cadar perlu dicuci seminggu sekali. Tetapi, jika tidak tidur di atas katil setiap hari, boleh melanjutkan tempoh itu kepada dua minggu sekali atau lebih.

Ada yang perlu, lebih kerap mencuci cadar jika mempunyai haiwan peliharaan yang tidur sama-sama di atas katil.

Cucian yang disyorkan ialah dua kali seminggu.

Mereka yang mempunyai masalah asma dan alahan kulit, juga disarankan mencuci cadar dengan lebih kerap.

Tindakan yang sama juga disarankan pada musim panas kerana didapati seseorang itu lebih banyak berpeluh ketika tidur.

CADAR boleh memerangkap banyak habuk.
CADAR boleh memerangkap banyak habuk.

Mengapa penting mencuci cadar?

Mengemas katil dan mencuci cadar seminggu sekali mungkin dilihat seperti 'membebankan' terutama mereka yang bekerja kerana kesuntukan masa.

Namun, sebenarnya ia berbaloi kerana memberi manfaat kepada kesihatan tubuh.

Walaupun selepas beberapa hari, cadar boleh mengumpul banyak kotoran, sel kulit mati, minyak badan, peluh dan hama habuk.

Walaupun masih dapat tidur nyenyak pada cadar yang 'tercemar' dengan kekotoran serta peluh, tetapi amalan ini adalah membimbangkan.

Hama habuk ialah sejenis serangga kecil yang boleh menyebabkan risiko alahan dan asma teruk kepada manusia.

Tilam dan cadar adalah tempat utama yang selalu dipenuhi habuk hama.

Hama habuk boleh membiak dalam jumlah yang banyak dan hidup semata-mata daripada sel kulit mati yang tertanggal pada cadar.

Masalah ini dapat diatasi dengan mencuci cadar dan sarung bantal lebih kerap.

Cara mencuci cadar dan sarung bantal

i- Baca label produk dengan teliti, jika terdapat sebarang arahan cara penjagaan yang khusus.

ii- Cuci menggunakan air paling panas untuk membunuh kuman bagi fabrik kapas dan air suam untuk fabrik polyester.

iii- Cuci cadar menggunakan bahan pencuci jenis lembut.

iv- Jika mempunyai masalah kulit sensitif, boleh mempertimbangkan untuk membilas cadar kali kedua bagi menghilangkan sisa sabun.

v- Jemur di bawah sinaran matahari

Selain itu sebagai tambahan, anda perlu membersihkan tilam setiap enam bulan sekali.

Pembersihan ini boleh membantu memanjangkan jangka hayat tilam, sekali gus meningkatkan kualiti tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:21 AM