LISETTE melakukan demonstrasi menghias dinding dengan lukisan cat.
LISETTE melakukan demonstrasi menghias dinding dengan lukisan cat.
CAT dinding dengan corak bermotif menghidupkan ruangan kediaman.
CAT dinding dengan corak bermotif menghidupkan ruangan kediaman.
Zaitie Satibi


Menghias dinding rumah sebenarnya satu cara paling mudah untuk membuat kediaman tampak segar dan unik. Tidak hanya itu, kesan dinamik juga akan tercipta jika kreatif dengan beberapa hiasan lain daripada yang lain.

Sayangnya, tidak semua orang mampu melakukannya kerana menghias dinding memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Tanpa adanya kreativiti ini, tujuan membuat ruangan indah sebaliknya akan menampilkan dekorasi berserabut.

Cat mampu menjadi cara paling mudah untuk menghias dinding. Berikan cat dengan warna berbeza pada satu sisi ruang. Warna lebih menyerlah akan menyempurnakan warna semula jadi di sisi lainnya dalam ruang yang sama.

Kebiasaannya dinding dihias dengan cat biasa tanpa sebarang motif tertentu. Menerusi sedikit kreativiti, dinding yang membosankan boleh tampak indah dan menawan pandangan. Oleh itu, anda boleh mencuba teknik cat dekoratif dalam rekaan untuk menonjolkan keindahan ruangan mengikut cita rasa.

Mengecat juga lazimnya hanya menggunakan berus bulu atau penggelek. Tetapi sebenarnya ada banyak cara yang boleh dicuba untuk kreatif kala mengecat. Tentunya sedikit kreativiti itu, hasil cat di dinding akan lebih menarik, unik dan luar biasa.

Teknik mengecat bergantung kepada corak atau motif yang ingin dihasilkan. Jika perlu, buat corak moden atau tradisional atau sekadar pola geometri pada dinding itu. Anda juga boleh menggunakan stensil atau tali pita untuk membantu kreativiti yang anda lakukan tampak lebih semula jadi.

Bagi memberikan efek dekoratif pada permukaan bahan, gunakanlah jenis cat dekoratif. Cat ini dapat memberikan efek pada permukaan sehingga tampak seperti tekstur bergelombang, kasar, berbatu-batu atau retak-retak.

Baru-baru ini, Dulux menganjurkan bengkel warna mural menggunakan cat bersama media dengan kerjasama Nala Designs yang mempunyai kepakaran dalam rekaan corak yang diterjemah ke pelbagai medium.

Bengkel yang diketuai pengasas Nala Designs, Lisette Scheers, memberi peluang kepada peserta untuk melihat kehalusan penghasilan karya seni yang kaya dengan budaya.

Ia menggunakan cat itu dianjurkan bagi memaparkan sifat dinamik dan inovasi cat Dulux seperti yang ditonjolkan pada dinding dan lantai di premis itu yang bukan saja kalis kotoran, malah memudahkan pembersihan dan memastikan warna terus kekal supaya dinding kekal menyerlah.

Cat dengan kesan khas juga membolehkan corak pada dinding kelihatan unik dan istimewa mengikut cita rasa masing-masing. Kombinasi cat dengan kesan khas dan inovasi mudah dibersihkan itu sesuai dalam penghasilan corak mural unik yang mampu bertahan dengan peredaran masa.

“Warna memainkan peranan penting dalam kehidupan harian dan cara terbaik untuk menggunakan warna ialah untuk mewarna tanpa mengira latar yang digunakan. Sungguhpun demikian, mewarna semakin kurang dihargai pada hari ini kerana banyak pihak beranggapan bahawa aktiviti mengecat membazir masa dan tidak penting,” kata Lisette.

Katanya, warna mampu mengubah penampilan yang hidup pada ruang kediaman atau pejabat, khususnya apabila anda mula bermain dengan tekstur. Selain itu, warna pada dinding juga mampu memberi kesan terhadap mood.

“Bagi kami juga, warna adalah segala-galanya dan satu cara yang membezakan pihak kami dengan yang lain dalam industri kreatif. Kami bukan saja menghasilkan produk yang menampilkan rekaan yang menarik perhatian tetapi turut memaparkan kecintaan terhadap warna,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar AkzoNobel Decorative Paints Malaysia Indra Laban berkata, pihaknya percaya warna mampu mengubah keseluruhan komuniti dan mempengaruhi tanggapan terhadap dunia sekeliling.

“Usaha sama ini adalah satu jalinan yang sempurna kerana mereka amat bersemangat dalam menghasilkan karya seni berilhamkan Malaysia yang bukan saja menonjol dan menarik perhatian tapi paling penting mampu memberi inspirasi kepada individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 4:19 AM