PILIHAN warna pada ruang yang memperlihatkan aliran terkini.
PILIHAN warna pada ruang yang memperlihatkan aliran terkini.
BANGKITKAN suasana segar tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.
BANGKITKAN suasana segar tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Sempena perayaan Deepavali, Dulux tampil berkongsi inspirasi warna-warna Diwali yang diilhamkan daripada sari untuk membantu anda mewujudkan persekitaran menarik.

Sari terdapat dalam pelbagai warna, rekaan, gaya, corak dan elegan.

Menurut wakil dari Libaas (M) Sdn Bhd Jessy Aulikh, aliran sari sering berkembang sekurang-kurangnya dua bulan sekali.

Aliran untuk tahun ini membabitkan warna-warni dengan sempadan lebar corak geometri atau abstrak berasal dari wilayah Banaras dan Rajasthan, India.

Seterusnya hanya dengan mengecat semula dinding, ciri-ciri itu dapat membangkitkan suasana segar tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.

Berikut beberapa palet warna sebagai inspirasi kepada dinding kediaman anda.

Penggunaan warna-warna asas India yang digunakan secara bijak menjadi aliran warna moden yang boleh menonjolkan sentuhan etnik di rumah anda.

Kombinasi warnanya hendaklah saling melengkapkan sentuhan dekorasi selain mewujudkan kesan elektik.

Bagi pemilik kediaman yang mahu menambah seri ruang dan melihat bagaimana stensil yang diinspirasikan daripada sari untuk projek mengecat sendiri rumah, pilih warna asas yang anda dapati pada sari.

Kemudian ikut corak keseluruhan atau sempadan untuk mencipta dekorasi khusus rumah anda.

Apabila memilih corak stensil ini, cuba campurkan corak bunga dan geometri. Bentuk-bentuk popular seperti ‘chevron’ iaitu corak tebal, memberi impak besar pada ruang.

Ia antara siri bentuk V yang disusun dalam barisan dan sebenarnya corak ikonik India selain menarik untuk corak keseluruhan.

Mungkin panduan berikut dapat membantu anda. Apabila memilih warna yang sempurna, anda pasti mendapati seolah-olah terdapat banyak warna padahal hanya tiga atau empat warna saja yang digunakan pada sehelai sari.

Keadaan itu sebenarnya diperoleh dengan menyusun warna latar belakang dan corak secara berselang seli.

Stensil lebih murah berbanding kertas dinding dan corak stensil memperlihatkan aliran terkini yang banyak diketengahkan.

Sesiapa saja boleh mencantikkan dinding dengan stensil dan kosnya sangat rendah. Kaedah ini lebih mudah dan cepat daripada yang anda sangka.

Selain stensil digunakan bukan sahaja untuk dinding, tetapi juga lantai, perabot, fabrik dan ambal.

Menerusi pelbagai corak stensil untuk dipilih, anda tentunya mudah mendapatkan idea dan mengendalikan projek menghias kediaman anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:01 AM