SEBAHAGIAN daripada penghantar Foodpanda yang diraikan sempena sambutan Hari Penghargaan Rider.
SEBAHAGIAN daripada penghantar Foodpanda yang diraikan sempena sambutan Hari Penghargaan Rider.

Kuala Lumpur: Foodpanda Malaysia akan memperluas perlindungan insurans kemalangan untuk penghantar dan keluarga mereka di luar waktu kerja mereka, melalui Foodpanda Protect+.

Skim insurans kemalangan tambah nilai itu memberi perlindungan berganda sepanjang masa untuk rakan penghantar Foodpanda dan waris mereka.

Diperkenalkan dengan kerjasama PolicyStreet, skim mampu milik ini akan memberi perlindungan tambahan 24 jam di seluruh dunia untuk kematian, hilang keupayaan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan, bermula dari hanya RM3 sebulan.

Selain itu, perlindungan ini juga boleh diperluaskan untuk merangkumi pasangan dan sehingga dua anak dengan yuran bulanan RM6 serta hanya RM1 untuk setiap anak berikutnya.

Bagi rakan penghantar yang bujang, pelan tambah nilai insurans ini turut diperluaskan bagi melindungi ibu bapa mereka pada kadar yuran sama.

Ketika ini, semua rakan penghantar dilindungi sehingga jumlah maksimum RM100,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang keupayaan kekal ketika waktu penghantaran mereka.

Ketua Logistik, Foodpanda Malaysia, Shubham Saran berkata, dalam melunaskan misi Foodpanda, adalah komitmen kami untuk memberikan penjagaan tiada tandingan kepada rakan penghantar, yang kali ini juga merangkumi ahli keluarga mereka.

"Kami adalah perintis dalam industri p-hailing yang memberi perlindungan insurans kepada rakan penghantar kami.

"Sambutan Hari Penghargaan Rider adalah peluang terbaik bagi kami melangkah lebih jauh untuk memperkasakan rakan penghantar supaya dapat menjaga kesejahteraan insan tersayang mereka dengan Foodpanda Protect+, yang kini melangkaui tugasan penghantaran mereka," katanya dalam kenyataan sempena sambutan 'Hari Penghargaan Rider' yang berlangsung di pejabat Foodpanda di Kuala Lumpur.

Majlis itu juga berlangsung di empat hab rider lain di Kuantan, Johor, Sabah dan Pulau Pinang.

Selain meningkatkan perlindungan insurans bagi rakan penghantar Foodpanda, platform ini juga sudah mengadakan sesi perbincangan dengan mereka untuk mengumpulkan maklum balas mengenai cara meningkatkan pengalaman mereka semasa membuat penghantaran dari rakan niaga kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 7:01 AM