Sri Ayu Kartika Amri

 

Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM438 juta bagi merealisasikan perancangannya untuk memiliki 900 cawangan MR DIY, MR Toy dan MR Dollar menjelang akhir 2021.

   Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, peruntukan itu juga bagi membuka 307 cawangan baharu di Malaysia dan Brunei bagi tahun ini dan tahun depan.

   Katanya, syarikat akan memberi tumpuan khusus kepada jenama MR DIY dengan membuka 200 cawangan baharu, manakala baki 47 kedai bagi jenama MR TOY dan 60 lagi, untuk MR DOLLAR.

  "Kami bercadang untuk terus berkembang di pasaran Malaysia dan Brunei menerusi pembukaan lebih banyak cawangan baharu sekali gus mengekalkan pertumbuhan berterusan syarikat untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

   "Malah, kami akan terus melabur untuk pekerja yang mana kami sudah mengambil lebih 1,000 pekerja baru semasa kempen pengambilan pekerja kami di seluruh negara baru-baru ini.

   "Selain itu, MR DIY juga berdaya tahan dan responsif terhadap situasi semasa dan tahun ini sahaja, kami sudah membuka 81 kedai dan mengembangkan 13.7 peratus rangkaian kedai kami," katanya kepada media selepas majlis penyenaraian saham MR DIY secara maya, hari ini.

  Hadir sama, Pengerusi MR DIY, Datuk Azlam Shah Alias.

  Sementara itu, Adrian berkata, kumpulan akan memberi tumpuan untuk kekal menjadi peneraju pasaran peruncit perkakasan rumah yang dianggarkan bernilai RM12.5 bilion di Malaysia dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

   Beliau berkata, MR DIY dijangka mengumpul modal mencecah RM1.5 bilion dan menjadikannya sebagai IPO terbesar dalam pasaran saham tempatan sejak tiga tahun lalu.

    "Ia juga akan menjadikan MR DIY termasuk dalam kedudukan 40 syarikat senaraian awam terbesar di Malaysia dari segi permodalan pasaran," katanya.

   MR DIY menawarkan 188.4 juta saham biasa baharu dan 753.09 juta saham sedia ada dengan harga IPO RM1.60 sesaham.

   Saham peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia dianggarkan bakal mencatat nilai permodalan pasaran kira-kira RM10 bilion selepas sahamnya diapungkan, sekali gus menjadi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 4:23 PM