ONG
ONG

Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Bhd mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersih kepada RM100.50 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (S1TK22) daripada RM124.79 juta tahun lalu.

Hasil pula meningkat 4.0 peratus kepada RM905.16 juta daripada RM870.18 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Syarikat itu mengaitkan prestasi berkenaan disumbangkan dari kedai baharu, yang meningkat 20.2 peratus tahun ke tahun kepada 947 kedai pada S1TK22, terdiri daripada 841 kedai MR DIY/DIY Express, 51 kedai MR TOY dan 55 kedai MR DOLLAR, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini.

Rangkaiannya berkembang dengan 47 kedai merentas tiga jenamanya, yang terdiri daripada 44 kedai MR DIY/DIY Express, dua kedai MR DOLLAR baharu dan satu kedai MR TOY baharu.

Kumpulan itu menyasarkan membuka 133 lagi kedai merentasi semua jenama pada tahun ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, gelombang keempat pandemik Covid-19 pada Februari 2022, dengan varian Omicron yang pantas merebak meningkatkan kadar jangkitan dan akibatnya ia mengurangkan trafik dan dan perbelanjaan pengguna.

Beberapa kedai MR DIY ditutup seketika untuk kerja sanitasi, tetapi strategi pertumbuhan syarikat kekal konsisten yang merangkumi pengembangan rangkaian kedai yang disusun dengan teliti merentas semua jenama, memacu pertumbuhan jualan dari kedai yang sama, mengurus rantaian bekalan, meningkatkan kecekapan kos dan penggunaan disiplin data yang ketat.

Selaras dasar kumpulan yang membayar dividen suku tahunan, MR DIY mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.7 sen sesaham biasa yang dibayar pada 24 Jun 2022, berjumlah RM44 juta untuk S1TK22 mewakili nisbah pembayaran 43.8 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:00 AM