Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Bhd, terus cemerlang apabila berjaya merekodkan peningkatan dua kali ganda keuntungan bersihnya kepada RM124.79 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2021, berbanding RM58.46 juta tahun sebelumnya.

MR DIY juga mencatatkan hasil lebih tinggi bagi pendapatan purata jualan bulanan setiap kedainya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, ini adalah prestasi suku tahunan terkuat MR DIY setakat ini dan disebabkan beberapa faktor antaranya jaminan harga berpatutan.

"Rangkaian kedai kami terus berkembang, menjadikan setiap cawangan semakin mudah diakses oleh pengguna yang dibatasi kesan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

"Produk kami juga sudah berkembang menjadi sekitar 18,000 simpanan stok (SKU) setakat ini dan kami melabur untuk mengembangkan platform e-dagang kami.

"Ini adalah landasan strategi pertumbuhan kami yang terus memberikan hasil yang baik," katanya dalam kenyataan.

Ong berkata, syarikat akan terus meluaskan rangkaian gedung bagi ketiga-tiga jenama iaitu MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR, sambil meningkatkan penjualan di kedai sedia ada dan memperluas perniagaan dalam talian.

Sejajar dengan dasar syarikat membayar dividen setiap suku tahun, MR DIY turut mengagihkan dividen sebanyak 0.8 sen sesaham, berjumlah RM50.2 juta yang akan dibayar pada 17 Jun ini.

Pendapatan MR DIY pada suku pertama ini meningkat 62.93 peratus kepada RM870.18 juta daripada RM534.09 juta.

Rangkaian kumpulan itu juga berkembang dengan mempunyai 54 kedai baru yang terdiri daripada 30 kedai MR DIY baru, 22 kedai MR DOLLAR baru dan dua kedai MR TOY baru.

Pada 31 Mac 2021, jumlah kedai adalah sebanyak 788, terdiri daripada 713 kedai DIY DIY, 39 kedai MR TOY dan 36 kedai MR DOLLAR.

Syarikat itu turut merancang membuka 121 kedai lagi bagi ketiga-tiga jenama menjelang akhir tahun ini.

TAMAT

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 4:26 PM