BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BANK Negara Malaysia. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.

Katanya, pada 7 Mac lepas, bank pusat itu menetapkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat kelima berturut-turut, selaras dengan konsensus dan jangkaan BMI.

Menurut firma penyelidikan itu, selain daripada rujukan tidak langsung bank pusat kepada mata wang yang berada 'di bawah nilai', yang jelas tiada dalam penyata dasar sebelum ini, terdapat sedikit perubahan, terutamanya untuk panduan ke hadapan.

Dalam nota semalam, BMI berkata, terdapat dua alasan yang menyokong pandangannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 9 Mei 2024.

Pertama, trajektori inflasi semasa tidak memberi ancaman kepada sasaran inflasi bank pusat.

"Pertumbuhan upah dalam sektor perkhidmatan berada pada trajektori menurun, mencatat paras tertinggi sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022 dan terkini merosot kepada sekitar tiga peratus pada suku keempat 2023.

"Data itu seterusnya menunjukkan inflasi perkhidmatan, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada kumpulannya, akan stabil pada dua peratus pada suku tahun akan datang, sejajar dengan pandangan kami untuk inflasi keseluruhan kepada purata 2.0 peratus pada 2024," katanya.

Kedua, katanya ringgit menerima tekanan yang tinggi, selepas merosot 5.1 peratus berbanding dolar AS pada tahun lepas.

"Walaupun ia mencatatkan pemulihan secara berperingkat dalam beberapa minggu ini, prestasi ringgit setakat ini masih ketinggalan berbanding ekonomi pasaran sedang pesat membangun yang lain.

"Kami menyatakan bahawa BNM akan berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari kerana bimbang akan menjejaskan kestabilan mata wang berikutan keadaan monetari global yang kekal terhad.

"Bank pusat sejajar dengan pandangan ini dan menjangka pendirian dasar monetari global 'akan kekal terhad' dalam jangka pendek.

"Bagaimanapun, dengan Rizab Persekutuan AS dijangka melonggarkan dasar pada Jun, perbezaan hasil secara berperingkat akan memberi kelebihan kepada ringgit dalam tempoh beberapa bulan akan datang," menurut BMI.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 4:03 PM