BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang tahun ini. FOTO Arkib NSTP
BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang tahun ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sepanjang tahun ini.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, jangkaan itu berdasarkan angka inflasi teras yang stabil dan prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sekitar 4.5 hingga 5.0 peratus.

Bank pelaburan itu berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai rancangan rasionalisasi subsidi kerajaan dan cukai perkhidmatan yang meningkat (daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus) yang memberi kesan kepada inflasi, ia percaya kesannya akan agak terhad.

"Pandangan ini dicerminkan dalam ramalan inflasi kami sebanyak 2.7 peratus untuk 2024, dan ini masih akan menghasilkan kadar faedah nyata positif kira-kira 0.3 peratus, dengan mengandaikan OPR kekal tidak berubah pada 3.0 peratus untuk sepanjang tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagi tinjauan ringgit, pihaknya meramalkan mata wang tempatan itu akan mengukuh ke arah paras 4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat menjelang akhir 2024 kerana percaya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) berkemungkinan akan mula memotong kadar faedah mulai Jun dan seterusnya.

"Bagaimanapun, mengekalkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar fiskal negara kekal penting untuk menarik pelaburan ke Malaysia," katanya.

Begitu juga, BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, juga menjangkakan bank pusat itu akan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang 2024

"Sebab mengapa kami masih berpendapat BNM akan terus mengekalkan (OPR) adalah kebimbangan penggubal dasar mengenai nilai ringgit, yang susut lebih 5.0 peratus berbanding dolar AS sepanjang tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Selain itu, BMI percaya inflasi seharusnya tidak lagi menjadi kebimbangan untuk negara bergerak ke hadapan.

"Pasukan minyak dan gas kita masih meramalkan peningkatan kira-kira 5.0 peratus dalam purata harga minyak mentah pada 2024, yang konsisten dengan inflasi utama yang kekal jauh di bawah 2.0 peratus (sejak beberapa bulan lalu)," katanya.

Mengenai tinjauan ringgit, BMI berkata, Fed berkemungkinan akan mengurangkan kadar faedahnya pada separuh kedua 2024 dan perbezaan hasil akan beransur-ansur memihak kepada ringgit dalam beberapa bulan akan datang dan menyokong nilainya.

"Kami juga menjangkakan pertumbuhan KDNK yang agak kukuh sebanyak 4.4 peratus untuk 2024, peningkatan ketara daripada 3.7 peratus pada 2023, yang bermakna bank pusat tidak akan terburu-buru untuk mengurangkan dalam menyokong ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 8:56 AM