RAVINDRAN (kiri sekali) bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) dan pengurusan kanan UMWT pada pelancaran inisiatif Beyond Zero.
RAVINDRAN (kiri sekali) bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) dan pengurusan kanan UMWT pada pelancaran inisiatif Beyond Zero.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) memperkenalkan inisiatif Beyond Zero, selaras matlamat global Toyota ke arah keneutralan karbon menjelang 2050.

Acara yang berlangsung sehingga 28 Februari di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil menampilkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.

Presiden UMW Toyota Datuk K Ravindran berkata, menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kumpulan meletakkan diri pada kedudukan sewajarnya dalam perjalanan berkenaan.

"Kami mengakui wujudnya pelbagai cabaran dan peluang di seluruh negara dalam usaha memperjuangkan pendekatan berbilang laluan dan melaksanakan tindakan kitar hayat sesuai agar selari setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara," katanya.

Menurutnya, acara Beyond Zero dilancarkan secara simbolik bagi mempamerkan pelbagai pendekatannya dengan teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV), Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api.

"Sebagai tonggak elektrifikasi massa, UMWT mempamerkan HEV keluarannya, yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

"Dengan sejarah kebolehpercayaan terbukti di jalan raya Malaysia sejak 2009 dan di peringkat global sejak 1997, UMWT menjual 41,600 HEV sejak 2009 diterjemahkan kepada kesan penyahkarbonan membanggakan, iaitu penyerapan 150,000 tan CO2 bersamaan 500,000 pokok.

"Keupayaannya mengurangkan CO2 secara ketara tanpa memerlukan pelaburan infrastruktur atau perubahan sikap pelanggan, membolehkan ia menjadi penyelesaian optimum bagi memperluaskan lagi elektrifikasi untuk orang ramai," katanya.

Selain HEV, UMWT memperkenalkan buat pertama kali, Kenderaan Elektrik Bateri dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api, termasuk mempamerkan model bZ4X bergaya, Hilux BEV tahan lasak dan C+pod dengan reka bentuk unik, sebuah BEV ultra kompak dua tempat duduk yang mesra alam.

C+pod diperkenalkan sebagai pilihan mobiliti direka khusus bagi meningkatkan kadar kecekapan tenaga setiap individu dalam persekitaran bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:02 AM