AHMAD Fuaad Kenali.
AHMAD Fuaad Kenali.

Kuala Lumpur: Kumpulan UMW mengakhiri 2022 dengan cemerlang apabila kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua mencatatkan jualan yang tinggi.

Kumpulan juga memecahkan rekod jualan bulanan dengan pendaftaran sebanyak 41,664 unit pada Disember 2022, tujuh peratus lebih tinggi daripada 39,034 unit yang didaftarkan pada November 2022.

Dengan itu, Kumpulan UMW mencatatkan rekod jualan tertinggi dengan 383,054 unit pada 2022, 46 peratus lebih tinggi daripada 262,685 unit didaftarkan pada 2021, yang terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, syarikat berbesar hati dengan jualan yang kukuh yang didaftarkan oleh UMWT dan rekod jualan yang dicatatkan oleh Perodua pada tahun 2022.

"Kedua-dua syarikat menunjukkan daya tahan yang tinggi dengan prestasi yang sangat baik untuk tahun ini walaupun cabaran dan rintangan dihadapi oleh industri automotif.

"Dengan ini, kami yakin industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada 2023 berdasarkan tempahan yang menggalakkan dan permintaan kukuh yang berterusan.

"Kumpulan akan terus memperkenalkan model baharu yang menarik pada harga kompetitif untuk memenuhi permintaan pengguna. Kami ingin merakamkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami," katanya dalam kenyataan, semalam.

UMWT dan Perodua melepasi sasaran jualan masing-masing pada 2022, terutamanya disebabkan oleh permintaan kukuh yang dipacu oleh pengecualian cukai jualan serta model baharu menarik yang dilancarkan

Dengan jualan sebanyak 10,440 unit yang didaftarkan pada Disember 2022, UMWT berjaya merekodkan jualan sebanyak 101,035 unit pada 2022, pertumbuhan sebanyak 40 peratus berbanding 72,394 unit yang didaftarkan pada 2021.

Hasilnya, UMWT terus menerajui segmen automotif bukan nasional walaupun keadaan pasaran dan isu rantaian bekalan yang mencabar.

Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross adalah model paling laris untuk 2022.

"Pada 2023, UMWT akan terus memperkenalkan model baharu dan menarik untuk mengekalkan momentum penjualannya serta mengambil pendekatan ke arah neutraliti karbon dan merancang untuk memperkenalkan model Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) kedua tahun ini, selain memperkenalkan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) untuk pasaran Malaysia.

"Walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri automotif, kami berjaya mencatatkan rekod jualan terbaik pada 2022," katanya.

Menurutnya, ia terus mengekalkan kedudukan utamanya dalam industri automotif Malaysia dengan catatan jualan sebanyak 282,019 unit pada 2022, peningkatan sebanyak 48 peratus berbanding dengan 190,291 unit yang didaftarkan pada 2021.

"Perodua memecahkan satu lagi rekod jualan bulanan tertinggi sejak penubuhannya pada Disember 2022, dengan jualan sebanyak 31,224 unit pada bulan berkenaan," katanya.

"Malah, ia turut merekodkan pengeluaran tahunan yang tertinggi iaitu sebanyak 289,054 unit pada 2022.

"Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu dalam produk dan perkhidmatan masa hadapan serta akan terus melabur untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:04 AM