E-Pallete yang dihasilkan untuk mobilti masa depan.
E-Pallete yang dihasilkan untuk mobilti masa depan.
Lizam Ridzuan


Ada pelbagai sumber tenaga baharu yang ditawarkan untuk kenderaan dalam pasaran global tidak terkecuali buat pengeluar Jepun, Toyota yang memperkenalkan inisiatif Beyond Zero dalam satu pameran baru-baru ini.

Diadakan dalam satu acara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur ia dianjurkan menerusi UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai pengedar utama Toyota di Malaysia adalah selaras misi mereka ke arah Neutraliti Karbon 2050 dengan mempamerkan pelbagai sumber tenaga baharu (NEV).

Acara Beyond Zero mengetengahkan pendekatan Toyota dengan teknologi elektrifikasi daripada kenderaan elektrik hibrid (HEV), elektrik bateri (BEV) dan elektrik sel bahan api (FCEV) yang kebanyakannya mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar.

MIRAI menggunakan kuasa hidrogen.
MIRAI menggunakan kuasa hidrogen.

Sudah pasti model hibrid antara yang mendapat sambutan baik dalam pasaran dan mula ditawarkan di pasaran tempatan sejak 2009 dan global pada 1997.

Antara yang dipamerkan seperti Alphard, Corolla Cross dan Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition.

Untuk rekod, UMWT berjaya menjual 41,600 model hibrid sejak dilancarkan di sini dan jika diterjemahkan dengan penyahkarbon ia berjaya menyerap 150,000 tan CO2 yang bersamaan 500,000 pokok.

Selain hibrid, UMWT buat pertama kali memperkenalkan model EV menerusi kenderaan utiliti sukan (SUV) bZ4X, trak pikap Hilux konsep dan C+pod dengan rekaan unik iaitu model kompak dua tempat duduk.

Untuk kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV), UMWT mempamerkan model termaju seperti Toyota Mirai, GranAce dan Hilux yang dijana kuasa hidrogen dan oksigen menjadi kuasa elektrik.

Media juga diberi kesempatan memandu semua model hidrogen dan penulis sempat memandu trak pikap Hilux FCEV dan ia bukan sahaja sangat lancar dan senyap, malah kuasanya juga sangat responsif.

Pengunjung juga berkesempatan berada dalam bas SORA (Sky, Ocean, River dan Air) dengan kuasa hidrogen sama seperti yang digunakan untuk model Mirai.

Turut dipamerkan model pelbagai guna e-Pallete yang digunakan ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam perkampungan sukan sebagai idea dan pilihan mobiliti pada masa hadapan.

Toyota menyediakan tenaga ini yang berkeupayaan menyumbang kepada masa depan lebih bersih dan mampan yang mana gas hidrogen disimpan dalam tangki yang bertindak balas menjana tenaga elektrik dan hanya mengeluarkan air kesan daripada tindak balas terbabit.

PRIUS Hibrid edisi prestasi.
PRIUS Hibrid edisi prestasi.

Sebagai pengeluar yang berpengalaman lebih 30 tahun membangun dan melabur dalam teknologi sel bahan api, hidrogen juga dilihat mempunyai kelebihan sebagai kenderaan komersial kerana ia hanya mengambil masa sepuluh minit atau kurang untuk mengisi semula bahan api dan mempunyai jarak pemanduan lebih jauh.

Acara itu juga melihatkan komitmen UMWT untuk seiring usaha negara dan global yang lebih meluas bagi menangani perubahan iklim dan memupuk pembangunan lebih mampan.

Ia juga menawarkan penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini, memastikan bahawa tiada seorang pun yang ketinggalan dalam perjalanan ke arah mencapai pelepasan Karbon Dioksida Sifar.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, mereka mengakui ada cabaran dan peluang dalam usaha memperjuangkan pendekatan berbilang laluan (multi pathaway) selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.

"Menyedari keunikan landskap industri automotif Malaysia dan kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama Asia Tenggara ini adalah penting untuk kami meletakkan diri dalam kedudukan yang sewajarnya untuk perjalanan ini.

"Mencapai sasaran sifar dan menambah nilai baharu ke atas pencapaian itu menerusi acara ini juga yang mempamerkan usaha peralihan industri automotif ke arah Neutraliti Karbon yang membantu mengurangkan kesan negatif kepada manusia dan alam sekitar," katanya.

Acara Toyota Beyond Zero dirasmikan olah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 6:12 AM