Corolla Cross Hybrid.
Corolla Cross Hybrid.
BERNAMA

Shah Alam: UMW Toyota Motor mengakhiri tahun 2022 dengan mencatat prestasi memberangsangkan apabila sebanyak 101,035 unit kenderaan dijual iaitu melonjak 40 peratus berbanding 72,394 unit pada tahun sebelumnya.

Presidennya Ravindran K berkata jualan itu melibatkan 100,042 unit kenderaan jenama Toyota dan 993 bagi Lexus, sekali gus meletakkan Toyota sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia walaupun berdepan keadaan pasaran yang mencabar serta rantaian bekalan yang menjejaskan industri auto di peringkat tempatan dan global.

Beliau berkata UMW Toyota Motor turut mencatat jualan kukuh bagi kategori SUV (kenderaan utiliti sukan) segmen-C domestik apabila sebanyak 17,208 unit Corolla Cross dijual pada tahun lepas.

Hilux pula menguasai segmen pikap dengan 27,198 unit terjual, manakala Hiace (390 unit) dan Fortuner (3,432 unit) masing-masing berada pada kedudukan teratas bagi segmen van satu tan dan wagon tugas ringan.

"Saya menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan, peniaga dan rakan perniagaan kami yang mengharungi tahun yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Ravindran berkata model Corolla Cross Hybrid iaitu antara beberapa model yang dilancarkan pada tahun lepas melakar kejayaan penting baharu apabila tampil sebagai model Toyota pertama dilengkapi teknologi kenderaan elektrik hibrid (HEV) yang dipasang di Malaysia di kilang Toyota di Selangor.

Beliau berkata teknologi HEV merupakan antara pendekatan ke arah keneutralan karbon yang membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

UMW Toyota Motor turut membuat penilaian ke atas kenderaan elektrik bateri (BEV), katanya.

"Kami akan terus membuat penilaian terhadap pilihan yang berbeza dan memperkenalkannya mengikut kesesuaian. Setakat ini, kami yakin HEV paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan menambah model HEV kedua pada 2023," kata Ravindran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 3:30 PM