EV pertama Toyota bZ4X.
EV pertama Toyota bZ4X.
Lizam Ridzuan


MESKIPUN pengeluar kenderaan Eropah kini berlumba-lumba dalam penawaran pelbagai model kenderaan elektrik (EV), namun agak berbeza dengan pengeluar dari Jepun yang seakan-akan mengambil langkah 'tunggu dan lihat'.

Tidak terkecuali buat pengeluar kenderaan Toyota mempunyai sebab dan pendekatan tersendiri yang diterangkan dalam satu sesi khas bersama media baru-baru ini oleh pengedar utamanya di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT).

Sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu negara, Toyota turut mempunyai tanggungjawab dalam membantu untuk mengurangkan pelepasan karbon rendah pada kenderaan yang sesuai bagi keperluan rakyat di Malaysia.

Menerusi Strategi 'Multi-Pathway' untuk mencapai neutral karbon, ia meliputi model kenderaan elektrik (BEV) seiring dengan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV) kuasa hidrogen yang sudah mula digunakan di Sarawak bagi melengkapi model hibrid (HEV) yang ditawarkan ke dalam pasaran tempatan dilihat lebih sesuai bagi keperluan pengguna di negara ini.

Toyota percaya buat masa ini hibrid adalah penyelesaian yang paling praktikal dan kos efektif untuk rakyat Malaysia yang juga menawarkan pengurangan karbon serta-merta tanpa menjejaskan kerisauan tentang pemanduan jarak jauh serta ketenangan fikiran untuk mencari lokasi isian bahan api.

Kajian ini sudah dibuat sejak penawaran model hibrid Toyota yang bermula sejak 1997 dan terjual lebih 20 juta unit di seluruh dunia yang membantu menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida sebanyak 165 juta tan metrik.

Namun, ia tidak setakat itu dan untuk model yang sesuai pada masa hadapan serta selari perkembangan semasa, model EV pertama mereka menerusi kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu Toyota bZ4X juga sudah dilancarkan secara global dan kini dalam proses menunggu masa yang sesuai diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

Pendekatan Toyota ialah ia bukan sekadar penawaran model EV dan menurut UMWT, mereka perlu menekankan ekosistem bermula proses pengeluaran keseluruhan di kilang bagi mencapai neutral karbon yang lebih baik adalah faktor utama menjadikan alam sekitar lebih bersih dan mampan.

Apabila infrastruktur untuk EV bertambah baik, UMWT akan melancarkan bZ4X itu dalam tempoh terdekat dan mencapai misi neutral karbon jenama itu menjelang 2050.

Malah mereka juga menyokong usaha kerajaan bagi melengkapi sasaran pemasangan sebanyak 4,000 unit pengecas elektrik pada penghujung tahun ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata pengalaman pemilikan kepada pelanggan adalah perkara yang menjadi keutamaan Toyota tanpa mengira sama ada model itu daripada enjin pembakaran bahan api (ICE), hibrid atau EV.

"Pembeli kenderaan adalah yang datang daripada pelbagai latar belakang serta keperluan, maka mereka boleh memilih model yang terbaik dan dalam masa sama kami menawarkan opsyen bagi memenuhi tujuan itu," katanya.

Model bZ4X adalah permulaan kepada strategi Beyond Zero Toyota dengan menyediakan unit ujian bagi pihak yang berkepentingan serta kerajaan dalam memacu ke arah mobiliti rendah karbon dan hijau.

Neutral karbon adalah satu matlamat global yang penting dalam usaha mengurangkan impak perubahan iklim serta banyak negara dan syarikat sedang berusaha untuk mencapainya melalui inisiatif yang berkaitan dengan pengurangan emisi dan penyerapan karbon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 6:44 AM