UMWT berjaya mengakhiri Februari 2024 dengan jumlah jualan bulanan sebanyak 7,480 unit, terdiri daripada 7,347 unit untuk Toyota dan 133 unit untuk Lexus.
UMWT berjaya mengakhiri Februari 2024 dengan jumlah jualan bulanan sebanyak 7,480 unit, terdiri daripada 7,347 unit untuk Toyota dan 133 unit untuk Lexus.

Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan kempen Journey of Reflections, menawarkan pelanggan sehingga 100 peratus pembiayaan untuk model terpilih.

Menurut UMWT pembeli kereta boleh menikmati penjimatan promosi yang meluas termasuk sehingga RM5,500 untuk Yaris Baharu, dengan bayaran ansuran bulanan bermula dari hanya RM688 untuk Vios serba baharu.

Ia turut menawarkan program Toyota Service Savers di mana pelanggan boleh menikmati ansuran bulanan yang mudah bermula dari serendah RM18.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K berkata, UMWT berjaya mengakhiri Februari 2024 dengan jumlah jualan bulanan sebanyak 7,480 unit, terdiri daripada 7,347 unit untuk Toyota dan 133 unit untuk Lexus.

"Dengan pencapaian ini, jumlah jualan tahun hingga kini setakat Februari 2024 kini berada pada 13,756 unit," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, acara Beyond Zero yang diadakan baru-baru ini, bukan saja mempamerkan kenderaan tetapi visi untuk kekal mampan pada masa hadapan.

"Komitmen Toyota untuk menolak sempadan teknologi dan kemampanan adalah tidak berbelah bahagi, dan kami berbangga untuk memimpin.

"Ketika kami memperkenalkan Van Hiace Panel, kami bertekad dengan janji untuk menyediakan kenderaan hijau dan pemanduan lebih bersih, yang bukan saja untuk kenderaan penumpang sebaliknya meliputi barisan komersial juga," katanya.

Pada 1 Mac lalu, tumpuan diberikan kepada van Toyota Hiace Panel 3.0 IMP2024 yang dinanti-nantikan.

Ia kini dibuka untuk tempahan, mendedahkan peningkatan yang besar.

Enjin 3.0L yang dipertingkatkan, beralih daripada 2.5L sebelumnya, sejajar dengan piawaian pelepasan Euro 4, memastikan pelepasan yang lebih bersih selaras dengan komitmen syarikat terhadap ekosistem yang rendah karbon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:10 AM