GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Lonjakan ketara jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) kepada hampir 70 peratus pada 2023, dijangka meningkatkan tahap penggunaannya tahun ini.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah berkata, jualan xEV mencecah 38,055 unit atau sekitar 5.0 peratus tahun lalu dan dijangka berlegar pada paras semasa, sebelum membuka laluan kepada lonjakan lebih ketara selepas 2025.

Katanya, jangkaan itu selaras dengan tamatnya tempoh harga lantai RM100,000 untuk EV import sepenuhnya (CBU) dan pengeluar kereta tempatan mula menawarkan model kereta EV mereka sendiri.

"Jualan EV meningkat lebih tiga kali ganda atau 286 peratus tahun ke tahun kepada 10,159 unit tahun lalu dengan membentuk 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) berbanding angka kecil 0.4 peratus pada tahun 2022.

"Menuju ke 2024, kami ramalkan lebih banyak EV akan diguna pakai oleh pengguna jalan raya susulan pelancaran model kereta berharga bawah RM250,000 baru-baru ini seperti Tesla Model 3 dan Model Y, Neta Model V Smart #1," katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam ruang EV, BYD dilihat menerajui penggunaan EV dalam pasaran tempatan apabila ia menguasai 37 peratus daripada pasaran EV tempatan keseluruhan pada 2023, dan pencapaian itu diraih hanya dalam masa sembilan bulan sejak kemasukannya ke pasaran Malaysia.

Industri automotif Malaysia merekodkan pencapaian baharu dari segi prestasi jualan dengan TIV sebanyak 799,731 unit pada 2023.

Jumlah TIV itu juga adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif negara, selain rekod kali kedua berturut-turut melebihi 700,000 unit walaupun berdepan pelbagai cabaran luaran dan domestik.

Pencapaian tahun lalu itu adalah peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding jumlah TIV yang direkodkan pada 2022 iaitu sebanyak 721,177 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 10:31 AM