FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Ringgit dijangka menjadi mata wang berprestasi terbaik di rantau ini pada 2024 dengan diunjurkan mengukuh ke paras RM4.40 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, demikian menurut Affin Group.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Affin Group, Alan Tan Chew Leong berkata, pihaknya menjangkakan tekanan perkembangan prospek luaran akan reda sedikit terutama impak pengetatan dasar monetari.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan kadarnya pada separuh kedua 2024 dengan jangkaan pada September.

Katanya, jika ia berlaku, langkah itu menjadikan perbezaan antara kadar faedah AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mengecil, sekali gus akan memberi sokongan kepada ringgit untuk mengukuh.

Tambahnya, pihaknya menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan OPR pada kadar semasa 3.00 peratus pada tahun ini.

"Dari segi makro, kami melihat ringgit lebih positif pada 2024 berbanding prestasi lemah yang dicatatkan pada 2023. Kami jangka ringgit mengukuh ke paras RM4.40 menjelang akhir tahun 2024," katanya pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi makro 2024 di sini, hariini.

Mengenai tinjauan ekonomi Malaysia pada 2024, Chew Leong berkata, ekonomi negara ini dijangka berkembang pantas sebanyak 4.5 peratus berbanding jangkaan 4.0 peratus bagi 2023.

Beliau berkata, pihaknya melihat pemulihan ekonomi secara meluas dengan permintaan domestik akan kukuh disokong pasaran kerja yang utuh dan dasar kerajaan yang positif.

Katanya, pemulihan eksport berikutan permintaan tinggi untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) akan menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini.

Jelasnya, permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada 2024 dipacu perbelanjaan isi rumah dan pemulihan dalam aktiviti pelancongan.

"Kami percaya unjuran pertumbuhan 4.5 peratus bagi 2024 boleh dicapai. Risiko penurunan adalah ketegangan geopolitik, yang kami lihat pada masa ini masih boleh terurus," katanya.

Chew Leong juga berkata, dengan prospek asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pengekalan disiplin fiskal, pihaknya tidak menolak kemungkinan firma penarafan antarabangsa akan menaikkan penarafan hutang negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 4:50 PM