Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus mencatat prestasi pertumbuhan yang mampan dengan Aset di Bawah Pengurusannya (AUM) dan Pendapatan Bersih pro forma yang disatukan meningkat, masing-masing pada kadar tahunan 4.1 dan 18.2 peratus kepada RM265.6 bilion dan RM6.7 bilion.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid berkata, pencapaian positif PNB setakat ini mencerminkan prestasi pasaran ekonomi dan kewangan global dan negara yang bertambah baik pada tahun ini.

Beliau berkata, dengan keadaan ekonomi Malaysia yang dijangka terus mencatatkan pertumbuhan, disokong pula oleh eksport yang semakin mengukuh dan nilai mata wang lebih teguh, pihaknya berharap dapat mengekalkan pertumbuhan prestasi yang kukuh untuk tempoh selebihnya tahun ini.

“Sebelum ini, kerajaan melaporkan bahawa ekonomi domestik berkembang dengan kukuh pada kadar tahunan 5.6 peratus bagi suku pertama 2017 yang membawa jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar keseluruhan yang lebih kukuh untuk 2017.

“Sehingga 21 Jun, FBM KLCI meningkat kepada 1,776 mata, peningkatan 8.2 peratus daripada penghujung tahun 2016 manakala ringgit juga meningkat 4.9 peratus kepada AS$4.29 menjadikan Bursa Malaysia dan ringgit masing-masing pasaran dan mata wang paling kukuh di rantau ini,” katanya kepada taklimat media PNB, di sini.

Menurutnya, permodalan pasaran syarikat pelaburan strategik PNB meningkat RM31 bilion setakat ini dengan permodalan pasaran Maybank kini melebihi RM100 bilion.

Anak syarikat milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kini mempunyai lebih 13 juta akaun dengan unit dalam edaran (UIC) mencecah hampir 217 bilion unit.

Abdul Wahid berkata, tempoh itu juga menyaksikan perkembangan ketara Pelan Strategik STRIVE-15 2017- 2022 PNB dengan tunggak utama pelan berkenaan berkaitan dengan inisiatif memberikan pulangan yang lebih baik secara mampan.

Perkembangan paling memberangsangkan dalam tempoh itu ialah peningkatan nilai pasaran agregat syarikat strategik PNB kepada RM31 bilion, pertumbuhan 18.1 peratus, lebih dua kali ganda pertumbuhan KLCI.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 8:07 AM