KEKOSONGAN pekerjaan dan gaji  meningkat bakal  mengukuhkan lagi pemulihan permintaan dalam negeri pada masa hadapan.
KEKOSONGAN pekerjaan dan gaji meningkat bakal mengukuhkan lagi pemulihan permintaan dalam negeri pada masa hadapan.

EKONOMI Malaysia berada pada laluan pemulihan yang kukuh disokong oleh aktiviti domestik dan permintaan luar yang positif.

Ekonomi dijangka berkembang dengan stabil pada 2022 dan 2023 walaupun berdepan cabaran daripada peningkatan tekanan kos, konflik ketenteraan Rusia-Ukraine dan langkah-langkah pembendungan ketat China terhadap Covid-19, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, Malaysia mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk eksport negara terutama produk elektrik dan elektronik serta produk berasaskan komoditi dan produk eksport yang pelbagai dan pasaran akan terus menyokong pertumbuhan eksport negara.

"Berdasarkan pemerhatian, kami menyaksikan peningkatan kukuh dalam permintaan domestik, perbelanjaan domestik terutama perbelanjaan pengguna yang mana jualan runcit, transaksi kad debit dan import barangan pengguna melebihi tahap prapandemik," katanya dalam ucaptama pada majlis Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2022 (IFCTF 2022) ke-12 di sini semalam.

Beliau seterusnya berkata, pasaran pekerjaan semakin kukuh memberi manfaat kepada ekonomi negara dan 26,000 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sama seperti tahap prapandemik.

Pada masa yang sama, kekosongan pekerjaan dan gaji juga meningkat, yang akan mengukuhkan lagi pemulihan permintaan dalam negeri pada masa hadapan.

Mengenai kenaikan harga, Nor Shamsiah menegaskan keadaan berlaku pada masa ini disebabkan fenomena global dan Malaysia terjejas akibat kesan tidak langsung daripada harga komoditi global tinggi kerana ia merupakan pemacu utama kenaikan kos input pengeluar.

"Perkembangan inflasi di Malaysia tahun ini mencerminkan sebahagian kos ini serta permintaan dalam negeri yang semakin kukuh. Akibatnya, walaupun inflasi utama diunjurkan kekal rendah dan stabil serta di antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini, inflasi teras meningkat kepada purata 2.2 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding 0.7 peratus pada 2021," katanya.

Beliau berkata, memandangkan ekonomi berada pada trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh dan tidak lagi dalam keadaan krisis, bank pusat melalui Jawatankuasa Dasar Monetari menilai bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk mula menarik balik lebihan sokongan, menyemak semula kadar dasar semalaman yang merupakan antara paling rendah dalam sejarah iaitu 1.7 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:01 AM