Orang ramai mengunjungi Kaunter Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB). - FOTO NSTP/Ghazali Kori
Orang ramai mengunjungi Kaunter Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB). - FOTO NSTP/Ghazali Kori
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peningkatan jumlah dividen dan bonus Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023) berbanding tahun lepas disumbangkan oleh prestasi lebih baik dicatatkan oleh beberapa sektor tempatan dan pelaburan global, kata penganalisis.

Pada pagi ini, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit iaitu 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi dana utamanya, ASB bagi TK2023.

Jumlah itu meningkat berbanding agihan pendapatan ASB 4.6 sen seunit merangkumi 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor tempatan seperti hartanah dan pembinaan serta syarikat-syarikat bermodal sederhana dan kecil, telah mencatat prestasi memuaskan.

"Prestasi dividen bagi unit amanah ASB tahun ini yang dikelola oleh ASNB menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding tahun lepas, walaupun indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat penurunan sebanyak 2.5 peratus dari awal tahun(2023) sehingga setakat ini.

"Indeks Hartanah dan Pembinaan menunjukkan kenaikan masing-masing sebanyak 33.1 peratus dan 23.5 peratus manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Small Cap menunjukkan trend peningkatan sebanyak 11.6 peratus dan 8.6 peratus," katanya kepada BERNAMA.

Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata strategi PNB bagi pelaburan pasaran antarabangsa turut memberi sumbangan positif ke atas prestasi portfolio ASNB.

Ini termasuk indeks utama global yang mencatat kenaikan signifikan dengan indeks S&P 500 dan Nasdaq menokok masing-masing sebanyak 22.4 peratus dan 41.2 peratus, sekali gus memberi sokongan besar ke atas prestasi pelaburan ASB.

Bagi prospek masa depan, beliau mengunjurkan pasaran ekuiti berdepan cabaran walaupun jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) mampu merangsang pasaran.

Menurutnya, ini berikutan pengaruh kadar faedah yang membantu ekonomi global dari segi mengurangkan kos pembiayaan selain merangsang aktiviti ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan modal.

Berikutan itu, beliau menjangkakan sektor-sektor seperti tenaga boleh baharu dan teknologi akan menjadi peneraju utama di pasaran kewangan.

"Indeks FBMKLCI misalnya dijangka meningkat berikutan penilaian rendah yang sebaliknya akan menarik minat pelabur asing.

"(Faktor) belanjawan kerajaan yang masih berkembang dan usaha mereformasi ekonomi juga akan menarik perhatian pelabur asing untuk melabur dalam saham yang dianggap bernilai rendah di pasaran tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 3:08 PM