ABDUL Wahid (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad mengumumkan pengagihan pendapatan, semalam.
ABDUL Wahid (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad mengumumkan pengagihan pendapatan, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit serta bonus 0.50 sen seunit bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Tahun lalu, ASNB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan ASB sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, peruntukan agihan pendapatan ASB itu membabitkan pembayaran sebanyak RM10.3 bilion.

Katanya, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 9 juta pemegang unit yang melanggan lebih 143 bilion unit ASB.

“Prestasi ASB pada tahun ini adalah lebih baik berbanding prestasi pasaran saham tempatan di mana indeks utama FBM KLCI mencatatkan pulangan keseluruhan -1.7 peratus dan secara keseluruhannya, prestasi pasaran saham terjejas oleh pelbagai faktor seperti aliran keluar pelaburan asing, harga komoditi utama yang rendah, ketidaktentuan pasaran mata wang dan suasana geopolitik.

“Bagaimanapun, ASB mampu menjana pendapatan kasar RM9.59 bilion sehingga 30 November 2016 dan PNB tetap optimis terhadap peluang yang ada dalam usaha memberi pulangan kompetitif kepada pemegang unit,” katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASB di sini, semalam.

Sementara itu, ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit bagi skim Amanah Saham Nasional (ASB) bagi tahun kewangan yang sama.

Jumlah pengagihan sebanyak RM92.86 juta akan dimanfaatkan oleh 1.2 juta pemegang unit yang melanggan lebih daripada 1.85 bilion unit ASN.

Beliau berkata, PNB menjangkakan ketidaktentuan pada masa ini akan berterusan bagi tahun 2017.

Abdul Wahid berkata, pelaksanaan pelan strategik enam tahun akan terus memacu syarikat untuk memberikan pulangan yang mampan dan berdaya saing bagi pemegang unitnya.

Pelan berkenaan merangkumi usaha memperkasakan Bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda membina negara yang saksama dan inklusif. Semua urus niaga bagi ASB dan ASN ditangguhkan pada 22 Disember 2016 sehingga 2 Januari 2016 untuk tujuan pengiraan pendapatan. Urus niaga akan berjalan seperti biasa bermula 3 Januari 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 10:05 AM