Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: Pakar ekonomi menjangkakan kadar dividen bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk 2022 yang akan diumumkan Jumaat depan adalah pada julat 4 hingga 5 peratus, sekali gus berkemungkinan lebih rendah berbanding tahun lalu.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pada pandangan beliau dividen ASB dijangka masih kompetitif dan berdaya saing meskipun prestasi pulangan pelaburannya dijangka bercampur-campur.

Katanya, ini termasuk prestasi Bursa Malaysia, di mana Permodalan Nasional Bhd (PNB) mempunyai pelbagai pegangan saham secara langsung.

"Jika dilihat indeks Bursa Malaysia turun dari paras tertinggi 1,603 mata pada April kepada paras terendah 1,378 mata pada Oktober lalu berikutan ketidakstabilan politik.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), indeks kembali mendaki semula dan selari dengan kembalinya kekuatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Prestasi PNB sama dengan institusi pelaburan lain yang menghadapi cabaran untuk mengekalkan pulangan pelaburan seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kesan daripada Covid-19 masih dirasakan di semua sektor ekonomi dan banyak belum pulih sepenuhnya, termasuk pelancongan seperti industri penerbangan dan perhotelan.

"Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga memberi tekanan kepada kadar pembiayaan PNB sendiri dengan 1.0 peratus sudah dinaikkan dalam tempoh kurang enam bulan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi bagaimanapun berkata, PNB turut mempunyai pelaburan besar di luar negara, sekali gus kenaikan portfolio terutama dalam mata wang dolar AS membantu pengurus dana amanah itu mengimbangi keseluruhan portfolionya.

Tahun lalu, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.0 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Ia merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit, dengan pembayaran pengagihan pendapatan RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpandangan kadar dividen ASB untuk tahun ini mungkin lagi rendah kerana beberapa faktor.

"Antaranya, prestasi indeks FBM KLCI, saham di Asia, S&P 500 dan FTSE 100 kesemuanya menunjukkan penurunan untuk 2022. Selain itu, sebanyak RM8.9 bilion diperuntukkan tahun lalu untuk membayar dividen 4.25 peratus dan bonus 0.75 peratus.

"Dengan pertambahan jumlah akaun, PNB memerlukan lebih RM9 bilion untuk membayar kadar dividen yang sama.

"Oleh itu, saya melihat kadar dividen tahun ini sama ada kekal atau lebih rendah.

"Namun, ia masih kompetitif berbanding pulangan deposit tetap dan juga kadar hibah Lembaga Tabung Haji (TH)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 2:21 PM