PERKHDIMATAN Perniagaan Milikan Tunggal dan Perkongsian CIMB menawarkan penyelesaian untuk memulakan dan mengurus perniagaan kecil dengan lebih mudah dan lancar.
PERKHDIMATAN Perniagaan Milikan Tunggal dan Perkongsian CIMB menawarkan penyelesaian untuk memulakan dan mengurus perniagaan kecil dengan lebih mudah dan lancar.
Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: CIMB Bank Bhd (CIMB) dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) memperkenalkan perkhidmatan Perniagaan Milikan Tunggal dan Perkongsian CIMB yang menawarkan penyelesaian untuk memulakan dan mengurus perniagaan kecil dengan mudah dan lancar.

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan, CIMB Group, Samir Gupta berkata, CIMB dan CIMB Islamic bekerjasama dengan 12 rakan niaga untuk menyediakan tawaran eksklusif serta kadar istimewa kepada pelbagai penyelesaian perniagaan berasaskan akaun operasi perbankan, pembayaran, perkhidmatan kurier dan kutipan, sokongan dan pendanaan, kesalinghubungan serta penyelesaian digital.

“Pelanggan CIMB dan CIMB Islamic akan memperoleh akses kepada harga istimewa atau pakej penyelesaian merangkumi pembayaran elektronik, perisian point-of-sale dan perkhidmatan, logistik hingga ke penjenamaan dan pemasaran serta kesalinghubungan laman web dan e-dagang.

“Ini sekali gus menawarkan kemudahan untuk memulakan atau menjalankan perniagaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Semua 12 rakan niaga yang bekerjasama di bawah inisiatif itu adalah Digi, Exabytes, ARMS, Billplz, NEXT Academy, Dojo, Genius POS, EasyParcel, EasyStore, Exabytes Digital, Nomad dan Sandbix.

Menurutnya, 97.7 peratus perniagaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia berada dalam kategori perusahaan kecil dan mikro, malah 260,000 syarikat pemula niaga baharu didaftarkan setiap tahun.

“Mengurus pengoperasian perniagaan sememangnya mencabar dan cadangan perniagaan milikan tunggal dan perkongsian CIMB mampu membantu pelanggan memulakan dan menjalankan enterpris mereka supaya tumpuan dapat diberikan kepada menghasilkan serta memasarkan produk atau perkhidmatan.

“Inisiatif ini sejajar seruan kerajaan kepada sektor swasta untuk membantu membangunkan PKS tempatan seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:00 PM