CIMB Bank. FOTO Arkib NSTP
CIMB Bank. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: CIMB Bank dinobatkan sebagai Bank Runcit Terbaik di Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Global dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit (RFS) 2023 oleh The Asian Banker.

Anugerah itu disampaikan di Konvensyen Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Runcit Ke-22 anjuran The Asian Banker di Hanoi, Vietnam, sekali gus meraikan kepimpinan CIMB yang berterusan dalam ruangan bank pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid berkata, pengiktirafan ini adalah selaras dengan fokus CIMB demi menerajui keutamaan digital dalam menghasilkan pengalaman pelanggan yang unggul, di mana ia sudah menyumbang kepada kecekapan kos dan prestasi perniagaan keseluruhan yang lebih baik.

"Anugerah ini menzahirkan iltizam sahih pasukan kami, serta tumpuan berterusan untuk memangkin teknologi dan pembolehan digital sebagai perantara demi memenuhi keperluan pelanggan kami yang kian berkembang.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami kerana menjadikan CIMB sebagai penyedia perkhidmatan kewangan serta rakan kerjasama mereka yang dipercayai.

"Kami akan terus mengekalkan hala tuju, menjalankan inovasi dengan penuh tanggungjawab, meletakkan keselamatan sebagai keutamaan dan memberikan perkhidmatan yang lebih bermakna kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan.

Antara pencapaian CIMB Bank yang menyerlah ialah fokusnya terhadap pemerolehan Akaun Semasa-i dan Akaun Simpanan-i (CASA) serta penawaran Akaun OctoSavers-i CIMB dengan fungsi pembukaan akaun Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC) secara elektronik sepenuhnya.

Penawaran digital CIMB secara keseluruhan menerima sambutan yang baik, di mana jumlah deposit dalam Akaun OctoSavers-i CIMB meningkat tahun ke tahun sebanyak 94 peratus pada akhir 2022, menandakan bukti kukuh akan kemudahan proses keseluruhan suai tugas dalam talian.

Pada 2022, CIMB juga memperkenalkan e-Zi Tunai CIMB, produk pinjaman peribadi pertama bagi pembiayaan mikro di Malaysia yang melaksanakan urusan pelanggan secara digital sepenuhnya.

e-Zi Tunai CIMB diedarkan melalui GOpinjam, suatu proposisi pinjaman peribadi digital inklusif yang tersedia melalui Touch 'n Go eWallet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 4:34 PM