KAPABILITI perkhidmatan Measat-3d adalah luas iaitu meliputi kawasan Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Selatan. FOTO Aizuddin Saad
KAPABILITI perkhidmatan Measat-3d adalah luas iaitu meliputi kawasan Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Selatan. FOTO Aizuddin Saad
Muhammad Saufi Hassan

Baru-baru ini, Malaysia berjaya melancarkan satelit Measat-3d, sekali gus bakal menyelesaikan masalah capaian internet khususnya untuk kawasan pedalaman.

Satelit Measat-3d yang dilancarkan di Pusat Pelancaran Angkasa Eropah, Kourou, French Guiana, Amerika Selatan turut disaksikan secara langsung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, Kafe Ahad minggu ini mewawancara Ketua Pegawai Operasi Measat YAU CHYONG LIM bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

YAU Chyong Lim. FOTO Aizuddin Saad
YAU Chyong Lim. FOTO Aizuddin Saad

Boleh tuan jelaskan berhubung kedudukan Measat-3d.

Measat-3d akan menyertai Measat-3a dan Measat-3b pada 91.5 darjah timur yang menyediakan peningkatan dan lebihan kapasiti untuk perkhidmatan Direct-to-Home (DTH) serta perkhidmatan penyiaran, telekomunikasi dan internet jalur lebar.

   

Apakah fungsi Measat-3d serta bagaimana ia boleh memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara?

Menggunakan kapasiti High Throughput Satellite (HTS) pada Measat-3d, satelit ini berupaya meningkatkan daya pemprosesan kapasiti jalur lebar Measat yang sedia ada sebanyak 10 kali ganda kepada 30Gbps, sekali gus membolehkan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi walaupun di kawasan yang terhad atau tiada sambungan darat.

Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 Mbps ketika ini kepada 100 Mbps, membolehkan pengguna menstrim kandungan tinggi data seperti video resolusi tinggi iaitu 4K atau 8K.

Measat-3d akan dapat merapatkan jurang digital di kawasan yang tidak diliputi teknologi mobil 4G atau 5G atau gentian di Malaysia.

Pelancaran Measat-3d akan meningkatkan kapasiti HTS kami dengan ketara, membolehkan kami mewujudkan masyarakat inklusif digital.

Measat-3d boleh dimanfaatkan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi (kira-kira dua juta rakyat) yang masih belum mempunyai sambungan gentian atau jalur lebar tanpa wayar.

   

Bagaimanakah keberadaan satelit ini dapat merapatkan jurang digital di Malaysia?

Measat-3d akan merapatkan jurang digital di banyak kawasan tanpa teknologi 4G, 5G atau liputan gentian di Malaysia melalui perkhidmatan CONNECTme NOW.

Perkhidmatan CONNECTme NOW oleh Measat bakal menghubungkan 10,000 tapak dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih dua juta rakyat di kawasan terpencil yang pada masa ini tidak mempunyai atau mempunyai akses terhad kepada Internet jalur lebar berkelajuan tinggi.

Measat setakat ini sudah melancarkan lebih daripada 3,000 tapak CONNECTme NOW di seluruh negara, kebanyakannya di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Measat sudah memulakan beberapa siri inisiatif satelit masa depan untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar dan backhaul selular dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang, untuk mempercepatkan pembentukan masyarakat inklusif digital.

Penyedia perkhidmatan satelit tempatan boleh menggunakan perkhidmatan kami dengan segera secara kos efektif.

   

Berapakah kos yang terlibat untuk Measat-3d?

Satelit Measat-3d iaitu satelit terbaharu dan tercanggih milik Measat setakat ini dianggarkan membabitkan kos RM1.2 bilion.

   

Apakah signifikan pelancaran Measat-3d? Adakah ia bakal meletakkan kemampuan komunikasi negara setaraf dengan negara maju yang lain? Adakah ia bakal merubah landskap komunikasi dan penggunaan teknologi negara ke satu tahap lebih tinggi?

Pelancaran Measat-3d akan meningkatkan kapasiti High Throughput Satellite bagi Malaysia.

Ia sekali gus meningkatkan, pertama, jumlah rakyat yang akan dapat menikmati perkhidmatan internet dan keduanya, kelajuan sambungan internet terutama di kawasan luar bandar dengan ketara.

Ini membolehkan kami mewujudkan masyarakat inklusif digital dan menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi seperti IR4.0, Internet Kebendaan (IoT), teleperubatan, pembelajaran dalam talian, e-dagang dan banyak lagi yang dalam jangka panjang menjanjikan untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tinggal di kawasan paling terpencil di negara ini.

Kami menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai 100 peratus akses internet menjelang 2025 seperti mana dinyatakan di dalam rangka tindakan MyDigital, serta sasaran Jendela untuk meningkatkan ketersambungan dan digitalisasi negara.

Selaras dengan hasil kajian yang menunjukkan bahawa peningkatan kelajuan jalur lebar dan penembusan internet mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kami berharap bahawa peningkatan penembusan internet di kawasan luar bandar yang diteraju oleh Measat akan mewujudkan manfaat ekonomi bagi lebih daripada dua juta rakyat.

   

Adakah satelit itu hanya melibatkan Malaysia ataupun melibatkan negara lain juga?

Pemilik satelit ialah Measat iaitu syarikat tempatan milik penuh warga Malaysia.

Namun, kapabiliti perkhidmatan Measat-3d adalah luas, iaitu meliputi kawasan Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Selatan.

   

Adakah Measat-3d ini menggantikan mana-mana satelit sebelum ini ataupun sebagai suatu penambahan kepada satelit lain?

Untuk makluman, Measat-3d akan meningkatkan kapasiti pengedaran video di seluruh rantau Asia Pasifik dan menyediakan redundansi satelit dalam orbit yang tiada tandingan untuk rantau ini.

Ia akan memastikan pertumbuhan berterusan dan kesinambungan perkhidmatan untuk penyiar terkemuka dunia dan televisyen satelit DTH kepada lebih 20 juta isi rumah di seluruh Malaysia, Indonesia dan India.

Pelancaran Measat-3d akan meningkatkan kapasiti HTS kami dengan ketara. Dengan penambahbaikan internet kelajuan tinggi daripada kelajuan muat turun 30 Mbps ketika ini kepada 100 Mbps, pengguna boleh menstrim kandungan tinggi data seperti video 4K atau 8K.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 8:01 AM