REDtone International Bhd menyasarkan pertumbuhan pelanggan korporat sehingga 30 peratus menjelang penghujung tahun ini menerusi perkhidmatan data dan suara yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Lau Bik Soon berkata, sehubungan itu, pihaknya menjalin kerjasama dengan WB Land bagi menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di Taman Perindustrian Frontier di Desa Cemerlang bagi membantu pertumbuhan terbabit.

Menurut Lau, menerusi kerjasama berkenaan, semua kilang di Taman Perindustrian Frontier dilengkapi dengan kemudahan pakej jalur lebar eksklusif yang mempunyai kelajuan sehingga 200Mbps.

“Penyediaan jalur lebar berskala tinggi adalah kelebihan yang kami tawarkan kepada pelanggan kerana perkhidmatan itu boleh menawarkan kelajuan sehingga 50Mbps bagi sambungan tanpa wayar dan 200Mbps untuk sambungan berwayar.

“Justeru, kerjasama strategik ini bakal memberi manfaat besar kepada semua kilang di kawasan berkenaan dan sebagai pakar dalam perniagaan jalur lebar, REDtone komited menawarkan kemudahan yang mesra pelanggan.

“Sebagai perintis dalam bidang ini, kami berjaya menjadi penyedia penyelesaian telekomunikasi bersepadu dan ia terbukti apabila lebih 15,000 pelanggan korporat sudah mendapat manfaat daripada perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian dengan WB Land di Galeri Jualan Frontier di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:00 AM