FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

KHAZANAH Nasional Bhd melalui anak syarikatnya, Impeccable Vintage Properties (IVP) memeterai surat hasrat (LoI) dengan Mara Corporation Sdn Bhd untuk membina dua hangar pesawat seluas 2.8 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif IVP, M Fuad Sharuji berkata, kerjasama itu dijangka merancakkan lagi industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dekat sini.

"Jumlah keluasan tanah IVP adalah 40 hektar, namun ada 1.6 hektar belum diteroka dan bersempadan dengan tanah UniKL (dimiliki Mara sepenuhnya).

"UniKL pula ada lebih kurang 1.2 hektar dan jika digabungkan menjadi 2.8 hektar yang boleh dijadikan hangar," katanya selepas majlis pemeteraian LoI itu di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2023, Jumaat lalu.

Pada majlis sama, IVP turut memeterai LoI kerjasama dengan Malaysia Airlines Group (MAG) bagi pengoperasian hangar empat berkeluasan 220,000 kaki persegi sebagai pusat MRO di LTSAAS.

"Kerjasama ini memberi peluang kepada MAG mewujudkan hangar penyelenggaraan di Subang (LTSAAS) selain, dua hangar di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya.

Pemeteraian kedua-dua LoI itu turut dihadiri Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris.

SAS 2023 selama tiga hari berakhir Sabtu lalu, menempatkan hampir 50 pesawat statik selain 119 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Denmark, Singapura dan Hong Kong yang mengambil bahagian tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 7:01 AM