PENGERUSI Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San
PENGERUSI Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pemaju perumahan terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS), mencatat keuntungan bersih tertingginya apabila berjaya memperoleh hasil sebanyak RM596.7 juta, peningkatan keuntungan sebanyak 58.9 peratus, berbanding RM375.6 juta pada suku sama tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, peningkatan ketara hasil ini sebahagian besarnya adalah berikutan kenaikan sebanyak 60.2 peratus di segmen pembangunan hartanah, yang menyumbang RM571.2 juta kepada jumlah keseluruhan hasil.

Katanya, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan juga mencatat peningkatan tinggi, mencecah RM41.1 juta sekali gus membawa kepada peningkatan 31.2 peratus.

"Kami teruja untuk mengumumkan bahawa LBS memperoleh keputusan kewangan amat cemerlang bagi 2023, dengan hasil sebanyak RM1.83 bilion, menandakan pencapaian tertinggi kumpulan setakat ini.

"Keputusan kewangan positif ini menunjukkan asas kukuh yang sudah dibina oleh LBS untuk fasa seterusnya," katanya dalam kenyataan.

Bagi tahun kewangan berakhir 2023, LBS mencatatkan PAT sebanyak RM159 juta, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 15.6 peratus.

Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan hasil sebanyak 6.0 peratus yang mencecah RM1.83 bilion Lonjakan ini dipengaruhi daripada peningkatan aktiviti pembinaan projek pembangunan yang rancak berjalan.

Selain itu, segmen pembangunan hartanah, mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, iaitu sebanyak 95.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Projek pembangunan utama, seperti Kita@ Cybersouth, Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, projek Idaman dan Prestige Residence, memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan hasil ini.

Lim berkata, kini, LBS terbabit dengan 19 projek yang sedang berjalan.

"Kami berhasrat untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion tahun ini daripada pelbagai projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.51 bilion, dibina di lokasi strategik seperti Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak.

"Di LBS, kami tekad untuk memastikan pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus (ESG) yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 12:18 PM