MUSTAPA  (tengah) pada Majlis Pelancaran Kerjasama Makanan Ayam Kampung FGV ALMA-Bernas & Pemasaran Ayam Kampung Ladang’57 di Serdang. - Gambar NSTP/AZHAR RAMLI
MUSTAPA (tengah) pada Majlis Pelancaran Kerjasama Makanan Ayam Kampung FGV ALMA-Bernas & Pemasaran Ayam Kampung Ladang’57 di Serdang. - Gambar NSTP/AZHAR RAMLI
Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Serdang: FGV Holdings Bhd (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) menyasar memasarkan sehingga 10,000 ayam kampung seminggu menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya berkata, sebagai permulaan, pihaknya memasarkan 1,000 ayam kampung seminggu di bawah jenama Ladang'57 di pasar raya besar AEON Big seluruh negara.

Katanya, kapasiti pengeluaran dipertingkatkan secara berperingkat sehingga mencapai 10,000 seminggu menjelang penghujung tahun ini.

"Semua ayam kampung ini diternak peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah pengurusan pertanian kontrak.

"FGV memberi komitmen membeli semula ayam kampung ini daripada penternak dan memasarkannya di pasar raya AEON Big.

"Untuk permulaan, kami sasarkan 1,000 ayam kampung seminggu sebelum ditingkatkan 10,000 menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran makanan ayam kampung FGV ALMA - Bernas dan pemasaran ayam kampung Ladang'57 di AEON Big di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansur, Pengarah Urusan Kumpulan, Padiberas Nasional Bhd (Bernas), Datuk Haris Fadzilah Hassan dan Pengarah Urusan, AEON Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

FGV berkerjasama dengan Bernas menghasilkan formulasi baharu makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada produk sampingan daripada kilang pemprosesan padi dan beras.

Inisiatif berkenaan dijangka mengurangkan 10 peratus kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirin jagung import. Produk sampingan sebanyak 30,000 metrik tan setahun ini digunakan khusus untuk menghasilkan makanan ternakan ayam kampung ALMA.

Katanya, dengan pengeluaran makanan ternakan ayam kampung ini, negara mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan ayam, seterusnya memastikan ketersediaan produk dan dijual pada kadar lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:00 AM