KETUA Pegawai Eksekutif, Izwan Zainuddin
KETUA Pegawai Eksekutif, Izwan Zainuddin

Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan 15 syarikat Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif untuk menyertai Program Petronas AutoExpert pada tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Izwan Zainuddin berkata, setakat ini, terdapat lima Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif telah menyertai program ini yang mula diperkenalkan pada tahun lalu.

Program Petronas AutoExpert adalah kerjasama PUNB dengan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) bagi membolehkan Rakan Usahawan PUNB menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia itu.

"Melihat kepada maklum balas yang positif, PUNB terus menyokong program ini untuk menambah bilangan Rakan Usahawan PUNB menyertai program Petronas AutoExpert, sekali gus membantu menaik taraf bengkel usahawan Bumiputera ke suasana yang lebih kondusif," katanya.

Izwan berkata, dalam Program Petronas AutoExpert, bengkel Rakan Usahawan PUNB yang layak akan dibantu daripada aspek pembiayaan perniagaan untuk dinaik taraf menjadi pusat servis sehenti yang menyediakan sokongan kepakaran dan capaian daripada sudut sistem dan kelengkapan termaju termasuk pelincir.

Selain itu, mereka yang menjadi rakan niaga Petronas AutoExpert akan menerima latihan, sokongan pemasaran, program dagangan dan rundingan bagi pembangunan perniagaan pada Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:05 AM