Lizam Ridzuan


"Perniagaan yang kami usahakan baru memasuki bulan keenam sebelum pandemik Covid-19 melanda. Ia banyak mengubah landskap perniagaan." itu perkongsian usahawan muda yang juga Pengarah Urusan AutoVettura Services Mohammed Fidzri Shafeeq Abu Kasim.

Mohammed Fidzri Shafeeq, 34, yang memulakan perniagaan bengkel talaan perlumbaan kereta dan membaiki kenderaan sejak 2010 sebelum menyertai program Petronas AutoExpert pada 2019 di bawah Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) berkongsi kisahnya kepada Vroom baru-baru ini.

Berhasrat mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi, Mohammed Fidzri Shafeeq berkata, antara cabaran paling besar ialah berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020.

Katanya, semua operasi perniagaan tidak boleh dibuka namun pada masa sama, dia yang mempunyai 26 pekerja di empat cawangan dan tujuh di ibu pejabat di Kuala Lumpur perlu memastikan nasib kesemua mereka terbela.

"Simpanan modal syarikat serta sokongan daripada agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) membolehkan kami meneruskan operasi.

"Insentif kerajaan seperti Program Subsidi Upah juga banyak membantu," katanya.

Pandemik juga memberi impak kepada pelanggan yang datang ke bengkel sama ada untuk melakukan penyelenggaraan atau membaiki kenderaan.

RUANG kerja kondusif.
RUANG kerja kondusif.

MOHAMMED Fidzri Shafeeq mulakan perniagaan bengkel talaan perlumbaan kereta dan membaiki kenderaan sejak 2010.
MOHAMMED Fidzri Shafeeq mulakan perniagaan bengkel talaan perlumbaan kereta dan membaiki kenderaan sejak 2010.

Sebelum ini, katanya, secara purata, setiap hari pihaknya menerima 10 kereta, namun kini jumlahnya berkurang.

"Selain itu, kami juga berdepan persaingan jualan minyak enjin daripada laman e-dagang yang kini menjadi pilihan pelanggan, ia juga antara cabaran yang harus kami hadapi.

"Selain itu, jualan tayar juga sedikit menurun dan pelanggan hanya menukar tayar yang sudah haus sahaja berbanding sebelum ini yang mana mereka akan menukar dua atau empat tayar sekali gus," katanya.

Memahami situasi ekonomi pelanggan dalam tempoh mencabar ini, Mohammed Fidzri Shafeeq menawarkan pelbagai tawaran menarik termasuk potongan harga kepada petugas barisan hadapan dan kakitangan Petronas selain sistem bayaran ansuran tanpa kadar faedah melalui aplikasi yang disediakan.

Ia sedikit sebanyak membolehkan mereka melakukan penyelenggaraan tanpa perlu mengeluarkan kos membebankan.

Pada masa sama, kenderaan pelanggan juga terjaga rapi malah tugas selenggara itu dikendalikan oleh mekanik dan juruteknik terlatih.

AutoVettura kini mempunyai empat cawangan bengkel Petronas AutoExpert yang terletak di Sri Batu Caves, Bandar Rinching, Bandar Bukit Raja dan Taman Putra Kajang.

PRODUK pelincir dan alat ganti tulen.
PRODUK pelincir dan alat ganti tulen.

DIKENDALIKAN mekanik berpengalaman.
DIKENDALIKAN mekanik berpengalaman.

Meskipun beerdepan situasi mencabar, Mohammed Fidzri Shafeeq tidak mengalah kepada situasi namun bersemangat mengatasi cabaran yang datang dengan mempelbagai sumber pendapatan termasuk pernah menjual pelitup muka bagi menampung kewangan perniagaan.

Menerusi perancangan syarikat dengan Aspirasi 20 (A20), Mohammed Fidzri Shafeeq menyasarkan untuk membuka 20 cawangan bengkel kenderaan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Selain perkembangan perniagaan syarikat, ia juga dapat memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat terutama mekanik, juruteknik kenderaan dan perjawatan lain.

"Kami mahu mengangkat perniagaan bengkel selenggara dan membaiki kenderaan ini ke tahap yang lebih baik dan kondusif untuk pekerja dan juga pelanggan dengan kualiti perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan," katanya.

INFO

  • Kos operasi sebulan AutoVettura Services untuk empat cawangannya ialah sekitar RM95,000

  • Khidmat ditawarkan ialah membaiki kenderaan, tayar, pendingin udara, diagnosis dan bateri
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:40 AM