NOR Shamsiah (kiri) semasa sidang media Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama 2022 di Sasana Kijang. FOTO BERNAMA
NOR Shamsiah (kiri) semasa sidang media Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama 2022 di Sasana Kijang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini, menekankan kepentingan untuk kalibrasi semula dasar monetari bagi mengelakkan keperluan bertindak agresif dalam menaikkan kadar faedah, kata Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

BNM, baru-baru ini, menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus daripada 1.75 peratus, dan tindakan itu sudah mengejutkan pasaran.

Beliau berkata, sebarang pelarasan akan memberi kesan kepada pendeposit dan peminjam.

"Walaupun OPR yang lebih tinggi mungkin menjejaskan peminjam (dengan perlu membuat) pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, namun ia juga mendorong pulangan deposit lebih tinggi bagi menggalakkan individu menyimpan untuk membina penampan kewangan mereka yang terjejas akibat Covid-19," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2022 Malaysia.

Dalam pada itu, BNM berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022 berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku yang sama 2021.

Ia disokong terutama oleh permintaan domestik yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

Pada kadar ini, KDNK menetapi unjuran yang dibuat penganalisis ekonomi yang optimis mengenai permintaan domestik yang semakin baik, terutama penggunaan swasta yang membentuk 58.8 peratus daripada ekonomi ini.

Menurut kenyataan BNM mengenai Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat, keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus susut kepada 4.1 peratus (suku keempat 2021: 4.3 peratus), di samping sokongan dasar yang berterusan.

BNM menjelaskan, permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

Mengulas prospek 2022, Shamsiah berkata, ekonomi domestik dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan di antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus seperti yang diumumkan pada Mac 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 3:02 PM