KELEMBAPAN ekonomi global serta jangkaan peningkatan inflasi dijangka menjejaskan prestasi eksport negara dan harga komoditi. FOTO Arkib NSTP
KELEMBAPAN ekonomi global serta jangkaan peningkatan inflasi dijangka menjejaskan prestasi eksport negara dan harga komoditi. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia diunjur menyederhana kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023) di tengah-tengah risiko kelembapan ekonomi global, kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan semalam berkata kelembapan ekonomi global serta jangkaan peningkatan inflasi dijangka menjejaskan prestasi eksport negara dan harga komoditi.

Ini, katanya, boleh membawa kepada langkah mengetatkan lagi kewangan menerusi kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh bank negara.

Bagi kali kelima berturut-turut, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari ini.

"Bagaimanapun, kami melihat risiko pertumbuhan perlahan itu terhad memandangkan risiko politik yang rendah, susulan kejayaan pembentukan kerajaan perpaduan dan perbelanjaan swasta yang kukuh yang disokong oleh pelbagai sokongan dasar seperti penyambungan pemberian subsidi dan program pindahan tunai bagi kumpulan B40 serta impak positif daripada kelonggaran dasar sifar Covid-19 China.

"Selain itu, kedatangan pelancong yang mula meningkat akan terus menyokong pemulihan dalam subsektor pelancongan ditambah dengan keadaan pasaran buruh yang semakin bertambah baik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan," katanya.

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2023 pada 4.3 peratus susulan normalisasi dalam ekonomi domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 7:43 AM