GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Penilaian semula kadar gaji minimum dari semasa ke semasa dilaksanakan berdasarkan senario pertumbuhan ekonomi negara dan perubahan kos sara hidup rakyat.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, pihaknya sentiasa memandang serius agenda penstrukturan semula gaji, terutamanya melalui pelaksanaan perintah gaji minimum.

"Kementerian melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang dalam proses melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum.

"Kajian semula ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun, selaras keperluan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011n (Akta 732)... Seksyen 25," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Julai, kerajaan menetapkan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Ketetapan tarikh itu diputuskan kerajaan akhir tahun lalu, selepas majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dibenar menangguhkan pemberian gaji minimum terbabit sehingga enam bulan, berbanding ditetapkan 1 Januari lalu, sebelum ini.

Ia membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, pelaksanaan kajian semula penting dalam usaha memastikan pelarasan perintah gaji minimum yang bersifat dasar berasaskan polisi.

"Kajian ini dilaksana melalui kaedah empirikal kajian lapangan. Dapatan daripada analisa data primer kajian lapangan ini merupakan input penting dalam usaha penilaian gaji minimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 8:39 PM