Rafizi Ramli. FOTO BERNAMA
Rafizi Ramli. FOTO BERNAMA
Muhamaad Razis Ismail


Putrajaya: Satu dasar diperlukan dalam penentuan gaji yang bersesuaian untuk membantu pekerja di negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah ini amat penting berikutan kecenderungan majikan yang menetapkan gaji yang hampir dengan gaji minimum yang dilaksanakan.

"Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Pertama 2023 yang dibentangkan, kita tengok sebahagian besar rakyat kita dibayar gaji lebih rendah dan kita nak tukar graf taburan gaji ini menjadi lebih normal.

"Sekiranya tiada satu dasar campur tangan dalam penentuan gaji, kami bimbang kecenderungan gaji permulaan tidak jauh beza dari gaji minimum sekarang iaitu RM1,500 untuk dibayar kepada lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran yang muda.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dan di peringkat kementerian ekonomi, ia menjadi tumpuan utama kami," katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Statistik Gaji Pekerja (Sektor Formal) bagi suku pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan di sini, hari ini.

Laporan itu mendedahkan bahawa gaji median bagi Mac 2023 berjumlah RM2,600, meningkat 8.3 peratus daripada bulan yang sama tahun lepas.

Pendapatan garis kemiskinan (PGK) bagi 2022 berjumlah RM2,589, manakala gaji sara hidup pada 2017 ialah RM3,047. PGK ditentukan oleh purata pendapatan isi rumah.

Rafizi berkata, Malaysia berhadapan dengan isu gaji di mana gaji median tidak meningkat seiring dengan kos sara hidup dan kekal pada peratusan yang rendah.

"Mengapa kita hanya bercakap mengenai perkara ini sekarang? Ini kerana kita perlu mengumpul data yang tepat dan kita yakin dengan diagnosis yang menunjukkan bahawa kita mempunyai masalah gaji," tambahnya.

Sementara itu, Rafizi berkata model gaji progresif, yang akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Isnin ini, menerima maklum balas positif daripada pemegang taruh utama iaitu majikan.

"Kami sudah buat sesi libat urus dengan kumpulan majikan dan setakat ini kita mendapat maklum balas yang positif.

"Cuma, ia memerlukan komitmen kewangan daripada kerajaan untuk menyediakan sejumlah peruntukan wang setiap tahun untuk membantu kenaikan gaji pekerja. Dasar ini akan membabitkan semua pekerja termasuk sektor awam dan swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 4:32 PM