INDIKATOR kadar tukaran asing, harga pengeluar dan kadar pengangguran adalah lebih penting untuk diberi keutamaan kerana berhubungan secara langsung dengan kadar inflasi.
INDIKATOR kadar tukaran asing, harga pengeluar dan kadar pengangguran adalah lebih penting untuk diberi keutamaan kerana berhubungan secara langsung dengan kadar inflasi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Analisis mendapati perubahan dalam kadar dasar semalaman (OPR) tidak mempengaruhi kadar inflasi secara langsung.

Analisis empirikal itu dijalankan The Future Studies Berhad (The Future) menggunakan data bulanan untuk tempoh Januari 2010 hingga Mac 2023.

Pengerusi Lembaga Pengelola The Future, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata, bagaimanapun, indikator lain seperti kadar tukaran asing, harga pengeluar dan kadar pengangguran adalah lebih penting untuk diberi keutamaan kerana berhubungan secara langsung dengan kadar inflasi.

"Melalui analisis Does Overnight Policy Rate Drive Inflation? yang dilaporkan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam siri penerbitan EU-ERA Policy Brief, menekankan kepentingan menguruskan faktor jangkaan inflasi yang kurang mendapat perhatian dalam penentuan kadar inflasi di Malaysia.

"Jangkaan inflasi adalah faktor penting untuk pelaksanaan dasar kewangan yang efektif dan jika bank pusat berupaya menambat jangkaan inflasi jangka panjang pelaku ekonomi menghampiri sasaran inflasinya, ia lebih berkemungkinan berjaya dalam menetapkan inflasi rendah dan stabil," katanya.

Mohamad Salmi berkata, pihaknya berpandangan pengurusan faktor jangkaan inflasi adalah penting dalam menstabilkannya kerana orang ramai menggunakannya untuk membuat keputusan mengenai perbelanjaan, peminjaman dan pelaburan.

"Sektor perniagaan kerap kali menggunakan jangkaan ini apabila menetapkan harga untuk barangan dan perkhidmatan di pasaran.

"Oleh itu, wujud keperluan untuk mengukur secara berkala jangkaan inflasi oleh pelaku ekonomi utama seperti isi rumah, sektor perniagaan dan ahli profesional.

"Kerajaan juga perlu mengutamakan indikator selain OPR dalam mengawal dan menstabilkan inflasi," katanya.

Menurutnya, perubahan OPR bagaimanapun secara langsung dan tak langsung memberi impak ke atas perbelanjaan isi rumah dengan mempengaruhi kos peminjaman.

Katanya, OPR lebih tinggi cenderung mengurangkan perbelanjaan isi rumah, manakala kadar lebih rendah merangsang perbelanjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 7:58 AM