EQHWAN  Mokhzanee (bertali leher merah kiri) dan Hamidy Abdul Hafiz (kirinya) bersama usahawan mikro asnaf.
EQHWAN Mokhzanee (bertali leher merah kiri) dan Hamidy Abdul Hafiz (kirinya) bersama usahawan mikro asnaf.

Kuala Lumpur: AmBank Islamic memaklumkan penyertaannya dalam program iTekad dengan memperuntukkan RM380,000 untuk menyediakan bantuan pembiayaan kepada usahawan mikro.

Program iTekad merangkumi modal permulaan, pembiayaan mikro dan inisiatif bina upaya.

Inisiatif pertama ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri bertujuan untuk menyokong usahawan mikro asnaf menjana pendapatan mampan dengan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

Pengerusi AmBank Islamic, Datuk Seri Hamidy Abdul Hafiz berkata, pemerkasaan usahawan mikro asnaf dan pembinaan kapasiti bagi golongan berpendapatan rendah adalah salah satu fokus strategik AmBank Islamic, sejajar dengan aspirasi kerajaan yang lebih luas untuk meningkatkan isi rumah B40 ke arah kualiti kehidupan lebih baik.

"Program iTekad yang dikuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mewujudkan laluan bermatlamat untuk institusi kewangan seperti kami yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang masyarakat yang kami khidmatkan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee berkata, inisiatif ini menawarkan cadangan unik untuk memperkasakan pemilik perniagaan yang merangkumi segmen berpendapatan rendah melalui akses lebih baik kepada perkhidmatan kewangan.

"Ia akan memberi manfaat kepada lebih 58 usahawan terdiri daripada industri makanan dan minuman, industri peruncitan dan perkhidmatan di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Komponen modal permulaan iTekad menawarkan geran sehingga RM20,000 untuk setiap peserta dan peserta juga boleh memohon sehingga RM10,000 pembiayaan mikro daripada AmBank Islamic," katanya.

Di bawah komponen bina upaya, peserta akan didaftarkan untuk menggunakan mTAP, penyelesaian penerimaan kad yang membolehkan pedagang menerima kad kredit atau debit tanpa sentuh menggunakan telefon mudah alih Android yang dilengkapi NFC dan didaftarkan ke QR DuitNow AmBank.

Di samping itu, setiap peserta akan diperuntukkan sehingga RM2,000 untuk langganan pelan data dan telefon bimbit percuma daripada pakej pascabayar Perniagaan Maxis dan AmBank mTAP.

iTEKAD adalah program kewangan sosial gabungan bagi menyokong usahawan mikro berpendapatan rendah untuk mengukuhkan pengurusan kewangan dan kepintaran perniagaan mereka ke arah menjana pendapatan yang mampan.

Program ini menyediakan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial (derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai), pembiayaan mikro dan latihan berstruktur.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta geran padanan untuk program iTekad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 8:25 AM