Zury Rahimee
Zury Rahimee
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) komited memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dengan sasaran menyalurkan pembiayaan berjumlah RM220 juta bagi tahun semasa kewangan 2021.

Ketua Bahagian Perbankan Konsumernya, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, Bank Muamalat adalah bank Islam yang menawarkan pembiayaan patuh syariah.

Katanya, setakat ini ada beberapa skim pembiayaan ditawarkan kepada PKS terutama membantu mereka mengharungi kesan penularan Covid-19.

"Antara pembiayaan itu adalah Targeted Relief and Recovery Facility yang mana dana ini dibiaya sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kadar keuntungan tetap pada 3.5 peratus.

"Manakala pembiayaan SJPP Fast Track pula merangkumi beberapa kategori pembiayaan khas untuk syarikat hak milik Bumiputera, syarikat hak milik wanita dan pembiayaan untuk digital atau automasi.

"Selain itu, kadar pembiayaan yang kami tawarkan adalah kompetitif dan kami di Bank Muamalat juga menawarkan khidmat nasihat pengurusan kewangan kepada PKS secara percuma," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah meluluskan RM48 juta pembiayaan di bawah skim Special Relief Facility Covid-19 kepada pelanggan.

Beliau berkata, Bank Muamalat turut meluluskan RM172 juta jumlah terkumpul di bawah skim Pembiayaan Pelancongan, Targeted Relief and Recovery serta SJPP.

"Kami juga bakal memperkenalkan skim pembiayaan untuk PKS dan mikro di bawah ekonomi gig yang meliputi pekerja dan vendor yang terbabit dalam ekonomi gig itu sendiri.

"Bagi memperkasa PKS dan usahawan mikro ini, kami beri mereka peluang meningkatkan kewangan di mana bank akan mengenal pasti beberapa usahawan yang berpotensi dengan menyediakan pembiayaan pada kadar kompetitif.

"Malah, Bank Muamalat memudahkan permohonan dengan meminimumkan dokumen serta caj pengecualian kepada PKS.

"Bagaimanapun, kami menyokong usaha kerajaan membantu usahawan kecil dalam menggunakan teknologi bagi mengembangkan operasi mereka," katanya.

Zury Rahimee berkata, selain menawarkan pembiayaan, Bank Muamalat turut memberi latihan atau klinik kewangan kepada peniaga supaya mereka mempunyai pemahaman terhadap pengurusan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 8:37 AM