JANGKA hayat penduduk Malaysia bertambah panjang iaitu 73.4 tahun berbanding 10 tahun lalu.
JANGKA hayat penduduk Malaysia bertambah panjang iaitu 73.4 tahun berbanding 10 tahun lalu.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia sedang menuju sebagai status negara tua menjelang 2030 disokong melalui laporan Jabatan Statistik Malaysia (JSM) apabila peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas (berumur 65 tahun dan lebih) meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus (2021) daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia sudah menjadi negara menua, tambahan lagi usia penengah meningkat dari 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Menurut unjuran JSM, pada 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60 dan pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk Malaysia melebihi usia 60 iaitu usia persaraan kebanyakan rakyat Malaysia dan juga ditetapkan kerajaan pada 2019 lalu.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dengan jangka hayat penduduk Malaysia bertambah panjang iaitu 73.4 tahun berbanding 10 tahun lalu, banyak persoalan dibahaskan di pelbagai peringkat bagi memastikan individu bersara dapat menempuhi usia emas dengan selesa.

Justeru, katanya, penambahan peratusan golongan usia warga ema bakal memberi kesan besar kepada tanggungan keluarga.

"Dalam membuat pelan hari tua, selalunya individu bermula apabila mereka sudah berkahwin, dimulai dengan pasangan akan berfikir mengenai pembelian rumah dan kenderaan, kemudiannya mengenai pendidikan anak-anak serta keperluan perlindungan takaful atau insurans.

"Selepas pendapatan kedua-duanya stabil, mereka akan mula merancang untuk melabur yang bertujuan untuk mengumpulkan aset untuk hari depan.

"Namun pertambahan perbelanjaan harian dari semasa ke semasa terutama kenaikan kadar inflasi iaitu kos sara hidup sekarang ini memberikan cabaran dalam usaha pasangan terbabit untuk mengumpulkan aset untuk hari tua.

"Sebaik-baiknya mereka perlu dapatkan nasihat pengurus kewangan profesional dan bertauliah untuk memberi panduan dalam usaha menguruskan kewangan," katanya.

Beliau berkata, perancangan kewangan sebenarnya bermula dengan pengumpulan aset, penjanaan aset, perlindungan aset dan pembahagian aset yang pasti memerlukan pelan strategik dan perlu dapat panduan pengurus kewangan bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 10:00 AM