Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil inisiatif memperkenalkan polisi baharu mengenai perlindungan kewangan warga tua yang lebih berkesan berikutan peningkatan kadar penuaan dalam kalangan penduduk Malaysia.

Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman berkata, menerusi pelan berkenaan, pencarum KWSP yang bersara masih mampu menjalani kehidupan berkualiti.

Beliau berkata, pencarum KWSP akan turut dibimbing dan diberikan pendedahan mengenai pelan perancangan kewangan selepas umur persaraan oleh pakar perunding bertauliah, pelan insurans dan strategik kewangan lain.

“Berdasarkan kajian, bilangan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas dijangka meningkat kepada 14 peratus atau 5.2 juta pada 2030 serta pada 15 tahun berikutnya, ia akan menjadi 21 peratus dan menimbulkan isu pengurangan penduduk.

“Malah, ketika ini jangka hayat wanita adalah 76 tahun manakala lelaki adalah 74 tahun. Kajian yang sama meramalkan 75 peratus atau 3.9 juta penduduk Malaysia pada 2030 adalah sihat dan produktif,” katanya pada Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa di sini, semalam.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari dengan bertemakan Penuaan Aktif: Hayat Lebih Panjang dan Hidup Sejahtera adalah anjuran bersama State Street, organisasi perkhidmatan kewangan bagi pelabur institusi terkemuka.

Penganjuran tahun ini menampilkan pakar dan pemimpin industri serata dunia seperti Kanada, Jepun, Denmark, Singapura dan Malaysia dalam membincangkan mengenai peluang kesihatan dan keselamatan dalam meningkatkan kualiti hidup.

Samsudin berkata, untuk mencapai usaha itu, KWSP menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dalam menyediakan golongan tua dalam berdepan dengan cabaran persekitaran ekonomi dan sosial selepas mencapai umur persaraan.

Katanya, KWSP juga sudah memperkenalkan polisi pengeluaran wang secara bulanan berdasarkan jumlah simpanan dalam akaun pencarum untuk satu tempoh yang panjang.

“Meskipun pada awal pengenalan polisi ini kita kurang yakin mengenai keberkesanannya kerana sudah menjadi kebiasaan kepada pencarum untuk mengeluarkan keseluruhan wang sebaik mencapai usia persaraan.

“Namun, pada masa sekarang ramai pencarum yang mula tidak mengeluarkan wang caruman mereka semuanya sekali gus, sebaliknya mengambil keputusan mengambil secara bulanan bagi membolehkan mereka membuat perancangan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 7:35 AM