GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Elya Nabila Abdul Bahri

Cadangan umur persaraan daripada 60 kepada 65 yang dikemukakan oleh Bank Dunia sejak 2020 menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pelbagai pihak di banyak paparan media sosial.

Cadangan itu susulan status Malaysia sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau negara menua, berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.

Berdasarkan bancian penduduk dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2010 hingga 2020, fenomena penuaan meningkat kepada 6.8 peratus iaitu lebih cepat berbanding lima peratus untuk tempoh sebelumnya. Peratusan ini meningkat pada tahun lalu, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk Malaysia melebihi usia 60 tahun.

Menurut unjuran JSM, pada 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60. Dengan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030.

Dalam tempoh 20 tahun sehingga kini, Malaysia pernah melalui proses kaji semula had umur persaraan pada usia lanjut sebanyak tiga kali dengan pelbagai perdebatan dan polemik yang akhirnya ia berjalan lancar dan diterima pelbagai lapisan pekerja demi kelangsungan kehidupan, ekonomi kendiri dan kesejahteraan kesihatan.

Perubahan pertama tempoh persaraan dilaksanakan kerajaan pada 2001, yang mana umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada usia 55 tahun kepada 56 tahun. Namun, tujuh tahun selepas itu pada tahun 2008, perubahan kali kedua had usia persaraan dilanjutkan daripada usia 56 tahun kepada 58 tahun. Seterusnya, perubahan persaraan kali ketiga empat tahun selepas itu diumumkan pada 2012 iaitu had umur persaraan dilanjutkan pula daripada usia 58 tahun kepada 60 tahun.

Selepas lebih 10 tahun berlalu, timbul pula persoalan yang bermain di pemikiran rakyat sekarang iaitu apa tahap kecenderungan penerimaan cadangan peningkatan had umur persaraan daripada 60 ke 65 tahun? Mengapa 65? Kenapa bukan 62 atau 63?

Perlu diingat, kehidupan pasca persaraan ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan 20 tahun dahulu. Kajian kami menunjukkan pada usia persaraan 60 tahun, sebanyak 74 peratus pesara mempunyai anak yang masih berumur di bawah 30 tahun. Selain masih mempunyai tanggungan, mereka juga masih mampu memberi manfaat kepada individu, masyarakat dan negara, terutama dari aspek sumbangan cukai pendapatan.

Ada pihak berpandangan bahawa skim gaji perlu dinaikkan dan bukan tempoh persaraan. Namun, jika gaji dinaikkan, tetapi bersara lebih awal, simpanan daripada gaji terbabit tidak bertahan lama bagi seseorang individu. Sebaliknya jika tempoh persaraan dilanjutkan, mereka dapat menikmati gaji penuh, di samping membuat simpanan untuk tempoh lebih lama.

Selain itu, peningkatan umur persaraan juga dilihat mampu mengatasi kekurangan tenaga kerja mahir dan berpengalaman yang melanda hampir semua sektor industri. Dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kita memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran, tanpa mengira umur. Namun jika trend lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat universiti berterusan, kita bakal berdepan kekurangan tenaga mahir yang kritikal menjelang 2030. Impak ini sekurang-kurangnya dapat dibantu dengan meningkatkan had umur persaraan pilihan dalam kalangan pekerja mahir.

Namun, bentuk dan jenis pekerjaan yang sesuai juga perlu difikirkan untuk mereka. Ini kerana kebanyakan pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas bekerja untuk tugasan yang menuntut tugasan fizikal yang minimum. Bagi mereka yang berkemahiran tinggi, mereka cenderung untuk bekerja bagi tugasan yang menuntut sumbangan fikiran, idea, kepakaran, kemahiran yang mereka kuasai serta daya mentadbir dan mengurus. Maka, pilihan umur bersara sama ada 60 atau 65 tahun, biar di atas hak individu kerana mereka sendiri tahu kemampuan dan tahap kesejahteraan mereka. Majikan boleh mengambil semula pesara untuk bekerja mengikut keperluan tugas dan juga pewarisan kemahiran kepada generasi muda. Majikan tidak akan memberi keutamaan untuk mengambil pekerja di usia persaraan jika pekerja terbabit tidak memberikan nilai tambah kepada organisasi. Maka had umur persaraan secara pilihan adalah suatu yang baik dengan memberikan fleksibiliti kepada pekerja mengikut keperluan, kemampuan, motivasi untuk bekerja, dan matlamat bekerja. Meletakkan hak kepada pekerja untuk menentukan had umur persaraan adalah saranan bijak kerana pekerja dapat menilai sendiri kemampuan dan tahap kesihatan serta kemahiran yang dapat disumbangkan kepada sektor pekerjaan mengikut kerelaan tanpa menjejaskan kesejahteraan sosial masing-masing.

Fleksibiliti pemilihan ini penting kerana kemampuan dan tahap kesihatan seseorang individu berbeza. Maka ruang dan peluang untuk bekerja lebih lama adalah perlu. Individu berumur 60 tahun adalah golongan matang dan mempunyai banyak pelarasan yang dibuat dalam kehidupan. Ada yang melihat pekerjaan itu sebagai ibadah, sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat melakukan aktiviti sosial, menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara selain mendapat gaji. Ada yang melihat bekerja menyeksakan, menyusahkan dan membebankan berdasarkan pengalaman dan motivasi kerja.

Dengan adanya ruang memilih had umur persaraan, mereka dapat merancang apa yang terbaik untuk masa.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:02 AM