Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, menyamai keputusan pada tahun kewangan sebelumnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM426.77 juta kepada 799,511 anggotanya.

Katanya, pembayaran dividen kepada anggota yang layak mula dibuat pada 30 Mac 2023.

"Bank Rakyat akan meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2.0 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM33.57 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM16.78 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

"Jumlah sumbangan bagi 2022 adalah sebanyak RM50.35 juta," katanya pada sidang media pengumuman dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.63 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, meskipun ketidaktentuan ekonomi susulan pascapandemik.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, prestasi kewangan 2022 itu didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan kumpulan, mencerminkan kekuatan dan daya tahan yang dibina sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

BANK RAkyat.
BANK RAkyat.

Di samping itu, katanya peruntukan yang mencukupi pada tahun semasa, sejajar dengan aliran industri juga meningkatkan prestasi kumpulan.

"Pendapatan operasi Kumpulan meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.9 bilion berbanding RM5.71 bilion sebelum ini didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dalam segmen perbankan runcit dan perniagaan, serta dibantu oleh pergerakan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

"Prestasi Kumpulan yang lebih baik ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan berasaskan fi dan kutipan susulan pembiayaan hapus kira sebanyak 24.1 peratus kepada RM440.79 juta daripada RM355.19 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Menurutnya, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.98 peratus kepada RM117.33 bilion berbanding RM115.06 bilion pada tahun sebelumnya.

"Pertumbuhan berterusan ini didorong terutamanya oleh peningkatan positif pembiayaan kasar dan pertumbuhan bersih aset perbendaharaan selari dengan strategi kumpulan sepanjang tahun.

"Manakala, Pulangan atas Aset (ROA) meningkat kepada 1.45 peratus daripada 1.4 peratus, sejajar dengan aliran industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 3:30 PM